MB Kelantan sedia jumpa Kafa

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedia bertemu dengan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi merungkai masalah badan berkenaan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad menyatakan persetujuannya bagi mengadakan perjumpaan itu bersama Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Menurutnya, kerajaan sedia mendengar pandangan pengurusan Kafa serta berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut itu.

"Saya dimaklumkan mereka ingin berjumpa dan kita sentiasa bersedia bila-bila masa bagi membincangkan kedudukan Kafa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar Kafa membuat perancangan jangka pendek dan panjang kepada masyarakat bagi menyelesaikan krisis kewangan badan itu.

Ahmad juga menaruh keyakinan Kafa akan mendapat tajaan pihak luar sekiranya persatuan itu membuat unjuran bagaimana masalah tersebut diselesaikan.

Menurutnya, Kafa sewajarnya mengambil peluang Kongres Kafa yang bakal diadakan pada 29 Disember depan sebagai medan bagi menyelesaikan masalah pasukan.

Dalam pada itu, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan Kafa, namun kerajaan negeri tetap komited membantu skuad Kelantan.

"Saya juga selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Kelantan sudah pun mengurangkan bayaran levi yang dikenakan kepada KAFA iaitu daripada 17 kepada 10 peratus.

"Malah kita juga tidak mengenakan cukai hiburan. Ini secara tidak langsung sebagai salah satu daripada tindakan kami dalam membantu KAFA," katanya.

Sebelum ini Kafa memutuskan menarik diri dari menyertai Liga Malaysia musim depan kerana gagal menyediakan dana yang mencukupi bagi The Red Warriors (TRW). – HARAKAHDAILY 17/12/2016

Share on Myspace