Isu TRW: Kami bukan umpama jantan pak sanggup

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadli Shaari mempersoal tindakan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang hanya melontar cadangan agar Menteri Besar menerajui The Red Warrior (TRW) hanya melalui media.

Sedangkan kata Ustaz Fadhli cadangan itu boleh dibawa dengan satu pertemuan diadakan antara KAFA dan kerajaan negeri.

"Soal KAFA mahu diserahkan kepada MB Kelantan sebagai pengerusi, kita pun setuju dan mana-mana rakyat Kelantan yang normal akan setuju demi masa depan TRW.

"Tapi KAFA juga perlu serius, sekadar lontar di dalam media dan harap MB respon berasaskan kepada laporan media sahaja, ia seolah-olah satu cadangan yang tidak ikhlas. KAFA boleh atur perjumpaan, pohon untuk jumpa MB.

"Apa pelannya, apa kaedahnya, bagaimana dengan hutang-hutangnya? Semuanya perlu dijelaskan sebelum mahu serahkan baton kepada pihak lain," kata Ustaz Fadhli kepada Harakahdaily hari ini mengulas kenyataan KAFA.

Katanya lagi Kerajaan PAS Kelantan sentiasa optimis, jika pihak KAFA benar-benar ikhlas untuk melihat masa depan TRW terus terjamin, mereka perlu lakukan sesuatu dengan kadar segera.

Bagi beliau, tidak cukup dengan hanya menyebut dan mencadang di dalam akhbar sahaja.

Katanya lagi, MB Kelantan dan kerajaan negeri bukan boleh dianggap sebagai pak sanggup yang dicari hanya apabila tiada 'jantan sanggup bertanggungjawab....'

"Bincang elok-elok, buat cara profesional,” kata beliau.

Sejak kebelakangan ini KAFA berdepan masalah untuk meneruskan kelangsungan memastikan pasukan TRW terus mendapat dana berdepan kempen Liga Super tahun 2017.

Dimaklumkan KAFA memerlukan RM12 juta tajaan bagi meneruskan hasrat bersaing dalam liga Super.

Prestasi TRW terumbang-ambing malah presidennya, Tan Sri Annuar Musa pula telah menyatakan pendirian tidak lagi mahu menerajui KAFA.

Sebelum ini TRW ditaja jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida yang terkenal dengan produk Qu Puteh.

Berikutan prestasi tidak memberangsangkan, DSV menarik kembali penajaannya. – HARAKAHDAILY 18/12/2016

Share on Myspace