Ramalan negatif BN terhadap Belanjawan K'jaan PAS T'ganu

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PEMIMPIN BN BUAT RAMALAN NEGATIF TERHADAP BELANJAWAN KERAJAAN PAS TERENGGANU (19 DISEMBER 1999)

PADA hari ini dalam tahun 1999, para pemimpin BN Terengganu telah mula membuat ramalan-ramalan negatif terhadap Belanjawan Terengganu 2000 yang akan dibentangkan semula oleh Kerajaan PAS Terengganu setelah belanjawan asal tidak terpakai kerana pembubaran DUN Terengganu pada 10 November 1999.

Menteri Besar Terengganu yang baru, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan Belanjawan Terengganu 2000 pada 21 Disember 1999 setelah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu Penggal Ke-10 mengangkat sumpah pada 20 Disember 2000. Satu kebimbangan besar pemimpin BN Terengganu ialah Kerajaan PAS Terengganu akan memanfaatkan dana besar kerajaan hasil royalti petroleum untuk kebajikan rakyat.

Sebelum ini, pada 1 Disember 1999, Kerajaan PAS Terengganu telah mengumumkan untuk menghapuskan serta-merta tol di Jambatan Sultan Mahmud dan juga cukai pintu yang melibatkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak RM16.6 juta.

Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk pada 30 November 1999 apabila Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menerima perkenan Istana Terengganu untuk menjadi Menteri Besar Terengganu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999, PAS telah berjaya memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN Terengganu sekali gus membolehkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1 Disember 1999.

PAS Terengganu dalam manifestonya telah menawarkan program kebajikan kepada rakyat Terengganu melalui pemanfaatan royalti petroleum yang dijangka berjumlah lebih RM800 juta pada tahun 2000. Langkah awal Kerajaan PAS Terengganu menghapuskan tol dan cukai pintu pada 1 Disember 1999 menunjukkan dasar mesra kebajikan rakyat akan dilaksanakan.

Pembaharuan pentadbiran yang mesra kebajikan rakyat ini telah menjadi sebutan rakyat dan ia akan dijadikan dasar kerajaan melalui Belanjawan Terengganu 2000. Antara pembaharuan yang diperkenalkan sepanjang tahun 2000 oleh Kerajaan PAS Terengganu ialah mewujudkan sistem kerja lima hari seminggu dengan cuti Jumaat dan Sabtu, menguruskan semua akaun kerajaan di bawah sistem perbankan Islam, menghapuskan kadar faedah empat peratus pinjaman kakitangan kerajaan, mewujudkan dana khas untuk pinjaman rumah kos rendah untuk rakyat miskin, menaikkan elaun pegawai masjid mukim, menubuhkan Unit Pembangunan Insan (UPI), menamatkan lesen premis perjudian, mengawal penjualan arak, memperkenalkan cuti 60 untuk wanita bersalin dan cuti seminggu untuk suami, meningkatkan jumlah bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada orang miskin, melarang Ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu mengambil elaun pengarah syarikat dan memberi peruntukan pembangunan kepada semua ADUN termasuk dari BN sebanyak RM100,000 setahun. Semua pembaharuan yang mesra kebajikan rakyat ini telah dimasukkan dalam Belanjawan Terengganu 2000 sehingga menimbulkan kebimbangan para pemimpin BN terhadap sikap politik rakyat.

Mengambil langkah awal untuk memburuk-burukan dasar mesra kebajikan rakyat Kerajaan PAS Terengganu, sejak 19 Disember 1999 para pemimpin BN mula membuat ramalan-ramalan negatif kononnya Kerajaan PAS Terengganu tidak akan dapat menyediakan program pembangunan yang berkesan untuk rakyat. Dengan dibantu oleh media massa, fitnah-fitnah mula dilancarkan ke atas PAS Terengganu bermula dengan isu perlaksanaan syariat, pencerobohan taman didikan kanak-kanak (tadika), kutipan cukai kharaj ke atas orang bukan Islam hinggalah isu kebenaran membuka ladang ternakan babi kepada orang bukan Islam.

Akhirnya, menjelang pembentangan Belanjawan Terengganu 2000, mereka menuduh pula bahawa belanjawan ini tidak akan memberi manfaat kepada rakyat. Walau bagaimanapun, dengan kejayaan Kerajaan PAS Terengganu memperkenal dan melaksanakan dasar-dasar mesra kebajikan rakyat sepanjang tahun 2000, Umno telah mengambil tindakan mendesak Kerajaan BN Pusat supaya menyekat royalti petroleum kepada Kerajaan PAS Terengganu. Akibatnya, pada 5 September 2000, Kementerian Kewangan telah mengumumkan penghapusan royalti petroleum kepada Terengganu, sekali gus menyebabkan program mesra kebajikan rakyat turut tergendala.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
19 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 19/12/2016

Share on Myspace