Kerajaan digesa tutup Jalan Sapulut-Kalabakan

ZULZAIM HILMEE ABIDIN | .

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah menggesa kerajaan negeri menutup jalan Sapulut-Kalabakan yang berisiko tinggi untuk digunakan oleh pengguna jalan raya dan pengangkutan awam yang lain.

Struktur jalan raya yang rosak sehingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan yang melalui jalan tersebut dan lebih menyayat hati, berlakunya tragedi kemalangan yang meragut nyawa orang awam yang menggunakan jalan tersebut.

Penutupan jalan buat sementara adalah perlu sehingga dibaikpulih sepenuhnya dan selamat digunakan oleh pengguna jalan raya. Kerajaan negeri perlu ada pelan terperinci laluan alternatif untuk kenderaan berat agar kerosakan pada jalan raya dan kemalangan membabitkan pertembungan antara kenderaan awam dan jentera berat tidak berulang kembali.

Jika diamati, jalan ini hanya mampu bertahan kira-kira dua tahun sahaja. Jalan Sapulut-Kalabakan ini telah dibuka dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman dengan disaksikan Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Haji Yusof pada 8 Mei 2015.

Ia memakan kos projek RM636 juta untuk pembinaan jalan gravel sepanjang 154 km pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2008. Selanjutnya, fasa kedua menaiktaraf jalan gravel kepada jalan berturap bermula pada tahun 2011 sepanjang 145 km dengan kos sebanyak RM270 juta. Kos jalan ini mencecah RM906 juta.

Pihak Jabatan Kerja Raya, kerajaan negeri dan syarikat kontraktor yang berkaitan perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan jalan raya Sapulut - Kalabakan ini berkualiti dan selamat digunakan untuk kepentingan orang awam.

ZULZAIM HILMEE BIN ABIDIN
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) – HARAKAHDAILY 19/12/2016

Share on Myspace