MAPIM bersiap lancar flotilla kemanusiaan ke Myanmar

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

KAMI mengalu-alukan hasil daripada Retreat Menteri Luar Asean di Yangon kelmarin, pengumuman oleh Kaunselor Negara, Aung San Su Kyi, bahawa kerajaan Myanmar akan membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan dihantar kepada kawasan utara Rakhine tempat berlaku serangan ke atas etnik Rohingya Muslim berlaku sejak 9 Oktober yang lalu.

MAPIM dengan itu akan segera bersiap untuk melancarkan Flotilla Makanan untuk Myanmar seperti yang telah diumumkan sebelum ini. Segala persiapan teknikal untuk menyegarakan persiapan kapal, partisipasi delegasi dan pengemblengan sokongan dari dunia akan digerakan.

Pelayaran Flotilla akan disasar pada awal atau pertengahan Januari 2017.

Usaha untuk mendesak agar Myanamr memberi akses kepada agensi bantuan kemanusiaan memasukki kawasan berkaitan, setelah semua laluan ditutup, akan membolehkan bantuan disalurkan sesegara mungkin.

Situasi kebuluran dan pelarian tanpa perlindungan dan tempat tinggal kini sudah mencecah puluhan ribu dan keadaan akan menjadi lebih parah jika bantuan segera tidak diusahakan.

MAPIM telah memulakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang telah sempat melarikan diri merentasi sungai Naf untuk masuk ke Bangladesh pada 14 hb hingga 18 hb Disember yang lalu.

Keadaan yang sangat mendesak dalam kalangan ribuan kaum ibu yang hanya melarikan diri sehelai sepinggang bersama bayi dan anak kecil di daerah Teknaf, selatan Bangladesh, menyebabkan Misi MAPIM tidak berlengah untuk menyalurkan bantuan makanan.

Sehingga ini laluan untuk masuk ke Myanmar maseh tertutup dan usaha melalui laut dengan misi Flotilla akan bergerak merentas Teluk Bengal untuk masuk secara langsung ke daerah Maungdaw.

Kami mengesa supaya misi Flotilla yang diusahakan ini tidak akan dihalangi oleh kerajaan Myanmar. Misi ini bertujuan membawa makanan, ubatan, khemah, peralatan dan pakaian untuk lebih 30,000 mangsa yang kini menjadi IDP (Internal Displace People)

Kami juga mengesa supaya agensi antarabangsa memastikan bantuan melalui Flotilla ini mendapat kemudahan yang secukupnya supaya bantuan dapat disalurkan dengan lancar.

Flotilla yang diusahakan oleh MAPIM  bersama rangkaian Ngo nasional, serantau dan internasional akan dijangka bergerak secepat mungkin melibatkan penyertaan sekitar 200 orang atas 2 buah kapal.

Dijangka pelayaran akan mengambil masa 3 - 4 hari dari pelabuhan Klang Malaysia menuju ke pengairan Myanmar melalui Lautan Andaman dan masuk ke Teluk Benggal.

Flotilla ini akan membawa 15,000 ton bantuan yang akan diserahkan kepada pos pihak UN yang akan membantu mengedarkan bantuan tersebut.

Kami tetap berpendirian bahawa isu asas dan punca kepada masalah penindasan ke atas Rohingya selama ini ialah penafian kerakyatan serta hak manusia yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan Myanmar. Jika isu ini tidak diselesaikan krisis yang berkaitan yang berpanjangan. – HARAKAHDAILY 20/12/2016

Share on Myspace