Ketua Dewan Ulamak PAS NS kembali ke rahmatullah

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: PAS kehilangan seorang lagi tokoh ulama anak muda yang terbilang, Ustaz Mohd Khairi Zainuddin yang merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan.

Tepat jam 5.30 petang, Harakah mendapat mesej dari adik Allahyarham Ustaz Khairi, Ustaz Mohd Nazri Zainuddin yang menyatakan abangnya pergi menemui Ilahi.

Almarhum merupakan Mudir Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum (SRIIDU) di Seremban yang terletak di Ampangan, dibina bersama beberapa ulama terkemuka Negeri Sembilan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Abdul Karim Shahime Abdul Razak, pemergian Ustaz Khairi amat dirasai seluruh pejuang Islam di negeri ini dan saf kepimpinan BPPNS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham meninggal pada usia 45 tahun jam 4.29 petang tadi akibat serangan strok kali kedua dan menghembuskan nafas yang terakhir di Nilai.

Menurut Mohd Nazri, jenazah Ustaz Mohd Khairi akan disembahyangkan jam 8.00 pagi esok, 21 Disember di Tahfiz Darul Ulum, Jalan Paroi-Senawang iaitu berhampiran Pusat Dakwah Islamiah Paroi.

Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Sri Mawar, Senawang pada jam 9.00 pagi.

Ustaz Mohd Khairi yang berasal dari Kampung Kubur Cacar, Jempol mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Jempol dan kemudian dihantar oleh almarhum ayahnya ke Terengganu untuk belajar di Maahad Darul Quran, Rusila bersama adiknya Ustaz Mohd Nazri.

Berkelulusan Diploma Perisian Komputer, Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar Mesir dan dalam lanjutan pengajian di peringkat sarjana di Open University.

Beliau berpengalaman mengajar di beberapa sekolah menengah.

Pengarang Kamus Bahasa Arab-Bahasa Melayu, Kamus Al-Miftah.

Pengerusi Akademi Darul Ulum.

Pengasas Sekolah Rendah Islam Integrasi Darul Ulum (SRIIDU)

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan sejak 2011 hingga kini. - HARAKAHDAILY 20/12/2016

Share on Myspace