Perkhidmatan feri di Sungai Kelantan

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Kebiasaanya perkhidmatan feri kita temui  di Pulau Pinang, Langkawi dan Pengkalan Kubor, namun di sini juga ada feri yang boleh memuatkan kenderaan serta penumpang.

Feri milik Koperasi Pasir Kelang Bhd yang beroperasi sejak beberapa tahun lepas menjadi nadi penting  menghubungkan penduduk di seberang Sungai Kelantan di Pasir Kelang dan Ladang Taku.

Pangkalan di sebelah Pasir Era dan Pasir Kelang disediakan jalan bertar untuk membolehkan kenderaan turun ke tebing sebelum menaiki feri.

Setiap kenderaan dikenakan tambang sebanyak RM5 bagi sehala perjalanan. Motosikal dan setiap penumpang dikenakan RM1.

Perkhidmatan feri itu beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam, dikendalikan enam petugas secara shif.

Di sebelah seberang sungai terdapat beberapa kampung termasuk Pasir Kelang Baru, Ladang Taku dan Kampung Taku  Blok 2.

Di Ladang Taku terdapat beberapa keluarga kaum India yang memiliki rumah serta lot kediaman sendiri.

Manakala Kampung Taku Blok 2 pula terletak kira-kira 6 km daripada pangkalan Pasir Kelang yang didiami ramai masyarakat Melayu.

Jalan dari Pasir Kelang Baru ke Kampung Taku Blok 2 ditar sejak beberapa bulan lepas memudahkan penduduk keluar ke Bandar Kuala Krai dan Machang. - HARAKAHDAILY 23/12/2016

Share on Myspace