Peminat mahu Kafa serius cari penaja

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Peminat sukan bola sepak di Kelantan yakin krisis kewangan yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bekerjasama.

Kata mereka Kafa tidak boleh bergantung kepada seorang individu sahaja bagi mengembalikan kecemerlangannya untuk beraksi di Piala Malaysia musim 2017.

Adnan Ismail, 47 menyifatkan Ahli Jawatankuasa Kafa sekarang hanya terlalu bergantung kepada seorang individu untuk memacu Kafa.

Beliau berkata, sepatutnya Timbalan Presiden Kafa Datuk Seri Affandi Hamzah berusaha menarik penaja seperti dilakukan Tan Sri Anuar Musa sebelum ini.

"Situasi sekarang seolah-olah mengambarkan Kafa terlalu bergantung kepada seorang individu sahaja.

“Apabila pemimpin itu tidak lagi memegang jawatan tiba-tiba Kafa bermasalah. Itu tidak wajar berlaku," katanya di sini.

Kafa sebelum ini mendakwa berdepan dengan masalah kewangan yang kronik sehingga boleh membantutkan untuk beraksi di Liga Malaysia 2017.

Ekoran itu ada cadangan supaya Kafa diterajui Menteri Besar seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.

Pengarah Urusetia Belia Dan Sukan (Ubes) Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerjasama kerajaan negeri setidak-tidaknya dapat meredakan kemelut yang melanda Kafa sekarang.

Menurutnya, Menteri Besar sudah mengatakan persetujuan untuk berjumpa dengan pengurusan Kafa minggu hadapan.

"Tetapi Kafa juga perlu serius, bukan sekadar memberi pandangan dalam media sahaja tanpa ada tindakan susulan," katanya. - HARAKAHDAILY 26/12/2016

Share on Myspace