Pelarian tekad bersatu untuk wujudkan khidmat komuniti

ASMAA YUSOF | .

Sekurang-kurangnya seorang dari 10 orang pelarian di Greece tidak tinggal di kem-kem perlindungan yang disediakan kerajaan atau NGO tetapi memilih tempat seperti sekolah terbiar dan beroperasi di bawah pergerakan perlindungan anarkis, lapor Al-Jazeera, Ahad lalu.

Memetik sumber sama, Al-Jazeera melaporkan pelarian dari Syria, Palestin, Afghanistan dan Iraq dengan jumlah keselurahan sekitar 600,000 tersebut mewujudkan pusat komuniti mereka sendiri di Athens.

Mereka kini mempunyai makanan, pakaian dan pendidikan yang sempurna serta sedang berusaha untuk memperbaiki kehidupan masing-masing.

Selain itu jelas Al-Jazeera, pertubuhan bantuan pertama di Greece telah dibentuk secara eksklusif oleh pelarian yang diberi nama “Jafra”.

Pertubuhan tersebut turut mengambil inisiatif mewujudkan siri pelajaran tarian bagi kanak-kanak pelarian supaya mereka kekal mengamalkan budaya masing-masing.

Menurut jurucakap pertubuhan Jafra, Housam Jackl, beliau menyatakan hampir seluruh dunia memberi persepsi negatif terhadap pelarian dengan meyifatkan mereka semua adalah lemah.

Namun jelasnya, dia percaya bahawa pelarian mempunyai banyak pengalaman kesan peperangan dialami mereka.

Tambahnya, mereka kini boleh mengatur aktiviti kemasyarakatan sendiri dan pertubuhan Jafra berusaha menukar imej pelarian di sana.

Kebanyakan ahli-ahli Jafra adalah wanita. Mereka menjual pakaian untuk meraih pendapatan secara kecil-kecilan.

Dalam pada itu, ahli-ahli Jafra juga bekerja dalam bidang lain seperti membina bangunan atau membaiki paip.

Pelarian daripada semua latar belakang tersebut telah bekerjasama dengan mengetepikan perbezaan sebagai langkah pertama ke arah integrasi Eropah. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace