Berlaku adillah sekalipun kepada non-Muslim

NASRUDIN HASSAN | .

Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Allah SWT. Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Mencipta sekelian alam. Antara sifat penting yang menjadi prinsip Islam ialah berlaku adil. Bukan sahaja adil semasa aman bahkan adil sewaktu perang. Bukan sahaja adil sesama penganut ajaran Islam tetapi adil juga kepada non-Muslim.

 يَا أَيُّهَآ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ للَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىۤ أَلاَّ تَعْدِلُواْ ٱعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, Jadilah kamu orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kau kerjakan. (Surah al Maidah: 8)

Adil ertinya berpaksi kepada kebenaran. Menegakkan keadilan ertinya menegakkan kebenaran. Sementara musuh kebenaran ialah pendustaan dan ia adalah satu kezaliman yang ditentang oleh syarak.  

Sungguhpun Islam tidak pernah mengiktiraf tuhan-tuhan yang disembah selain Allah SWT, namun Islam mempunyai sikap yang tegas dan jelas agar ummatnya tidak menghina dan mencerca tuhan yang mereka sembah.

Firman Alllah SWT:

و لا تَسُبُّوا الذينَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Dan janganlah kamu cerca apa yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

* Asy Syaukani rhm berkata di dalam tafsirnya “Fathul Qadir jilid 2 muka surat 149” bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa penyeru [pendakwah] kepada kebenaran dan pencegah kebatilan, apabila bimbangkan perbuatan menghina agama lain menyebabkan tindakan yang melampau sebagai balasannya maka hendaklah dia meninggalkan penghinaan itu bahkan wajib.

* Prof Wahbah az-Zuhaili menjelaskan di dalam tafsirnya “al Munir jilid 7 muka surat 327” bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul-Nya SAW.

Jika mencerca tuhan yang mereka sembah selain Allah SWT pun dilarang oleh Islam sedang ia adalah perbuatan syirik dan kufur, kerana Islam mengambil maslahah agar Allah Tuhan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan tidak dicerca balas oleh mereka, maka demikianlah juga dalam perkara-perkara lain seperti mencerca  peribadi dan menghina ahli keluarga mereka.

Saya dan kita semua yakin bahawa agama mereka salah menurut pandangan Islam. Tetapi kita tidak boleh memaksa mereka mengikut agama kita justeru Islam hanya boleh diterima dan dianut dengan penuh kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Sebab itulah, apabila seseorang menganut ajaran Islam, tiada lagi jalan keluar untuk mereka melainkan mereka terpaksa berdepan dengan undang-undang murtad di dalam Islam kerana ia adalah satu penghinaan kepada ajaran Islam.

Nasrudin Hassan
https://telegram.me/nasrudinhassan - HARAKAHDAILY 28/12/2016

Share on Myspace