PAS lancar kempen 'PAS Pilihanku'

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD | .

PAS akan melancarkan kempen PAS PILIHANKU yang akan bermula dari 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Tujuan kempen ini adalah untuk menggalakkan PAS kawasan-kawasan dan negeri-negeri menambah keahlian mereka.

Satu pertandingan di antara PAS negeri-negeri dan kawasan-kawasan akan diadakan.

Beberapa kategori anugerah telah dipersetujui sepertimana berikut:

1.) Anugerah bulanan untuk PAS kawasan dengan bilangan penambahan ahli yang teramai.

2.) Anugerah keseluruhan kepada PAS kawasan dengan bilangan penambahan ahli yang teramai.

3.) Anugerah keseluruhan kepada PAS kawasan dengan peratusan penambahan ahli yang teramai.

Anugerah-anugerah akan diumumkan dan disampaikan oleh Presiden PAS pada Muktamar PAS tahun ini pada akhir bulan April.

Kempen ini akan dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS pada 21 Januari akan datang di Shah Alam.

PAS negeri-negeri akan mengadakan pelancaran mereka sebelum tarikh tersebut.

Sasaran kempen ini adalah pendaftaran seramai 131,226 ahli baru.

Sasaran minimum penambahan ahli-ahli baru telah ditetapkan untuk setiap negeri.

Sasaran yang tertinggi adalah untuk negeri Kedah dengan 25,808 penambahan diikuti dengan Kelantan dengan 18,255 penambahan dan seterusnya Selangor 15,759 penambahan.

PAS melihat terdapat minat yang tinggi terhadap PAS, maka adalah wajar kempen ini dilancarkan agar jentera parti dapat mendaftarkan mereka itu.

Kami yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan trend penambahan ahli sebelum ini.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Pengarah Kempen PAS Pilihanku / Naib Presiden PAS
28 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 28/12/2016

Share on Myspace