Tekad 2017: Ubah derita kepada sejahtera

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT | .

TAHUN Baharu 2017 tidak memberi makna bagi kebanyakan rakyat termasuk di negeri Kedah atas pelbagai bebanan kehidupan harian, khususnya berkaitan kos sara hidup yang meningkat. Punca dari semua ini bukan dari masalah dilakukan rakyat, tetapi akibat dari polisi, pengurusan dan pelaksanaan oleh kerajaan yang lemah, tidak peka, menindas dan menyeleweng.

Kerana kedudukan yang dipegang dijadikan batu loncatan untuk kepentingan peribadi. Lalu, keringat dan poket rakyatlah diperah semahunya. Kerajaan tidak menjadi penaung, penyatu dan penyelesai masalah rakyat. Inilah satu bentuk perhambaan yang Allah taklifkan kepada orang beriman supaya membebas manusia dan memakmurkan bumi.

Cukai GST dan kenaikan harga barang mempengaruhi kecukupan rakyat dan semakin terasa menjelang sesi baharu persekolahan. Tetapi apabila diluahkan, rakyat dikata tidak bersyukur dan diperolokkan mereka dengan seruan seperti makan kangkung, jangan membeli, jangan naik dan sebagainya.

Tindakan seumpama juga berlaku di Kedah. Air yang jadi keperluan asas, masih mengalami masalah perbekalan. Exco yang bertanggungjawab ternyata lemah dan cuba membodohkan rakyat dengan memberitahu masalah selesai pada tahun 2020. Maknanya rakyat akan terus menanggung masalah dan gangguan bekalan air selama 4 tahun lagi.

Pengumuman penubuhan 'Task Force', bukan menyelesaikan masalah rakyat tapi 'omongan kosong'. Telah jadi amalan biasa, janji manis digula-gulakan kepada rakyat yang terus mengharap. Jaminannya belum ada. Buktinya, sudah empat tahun BN mengambil alih pentadbiran negeri Kedah, semua janji mereka dalam manifesto tidak tertunai. Apakah rakyat mahu terus terpedaya?

Peruntukan sedia ada melalui Kerajaan Persekutuan juga banyak diperolehi melalui geran ataupun pinjaman berjuta-juta, di mana Kedah mendapatnya hampir setiap tahun. Mengapa masalah air di Kedah tidak selesai? Adakah peruntukan diserap sebahagiannya untuk kepentingan diri dan politik?

Pilihan Raya Umum yang boleh berlaku pada bila-bila masa selewatnya tahun 2018 lebih lagi akan menyaksikan banyak janji akan ditabur kepada rakyat. Banyak pemberian telah diumumkan dan rakyat berhak untuk mengambilnya. Tetapi janganlah kita 'menjual harga diri' dan undi atas nama 'bantuan' diberikan. Senang seketika, tapi menderita 5 tahun lamanya.

Demikian itu jadikan 2017 tekad untuk mengubah segala derita tersebut kepada sinar sejahtera bersama penyelesaian Islam. Insya-Allah PAS akan sentiasa memperjuang dan bersama rakyat menuju kepada kehidupan diredai Allah dengan menjadikan negeri ini sejahtera yang mendapat keampunan dan rahmat-Nya.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 29/12/2016

Share on Myspace