Islam adalah penyelamat

NASRUDIN HASSAN | .

Terlalu lama negara kita tersangkar dalam sebuah kehidupan yang mengenepikan Islam sebagai cara hidup, akhirnya Islam menjadi asing kepada rakyat umum kecuali hanya dalam perkara ibadah rutin, solat, puasa, zakat dan haji.

Soal undang-undang Islam sangat jauh dari pemerhatian dan pengetahuan kebanyakan masyarakat kita hari ini. Malah terdapat sebahagian umat Islam yang bersikap prejudis terhadap syariat dan undang-undang Islam. Kalaupun mereka mahukan Islam, Islam yang mereka mahu hanyalah Islam tanpa syariat.

Mereka mendakwa bahawa syariat Islam tidak akan dapat memberi keadilan kepada rakyat khasnya non-Muslim, sedang undang-undang Islam ini tidak pernah diberi peluang untuk berdaulat dan dikuatkuasakan dalam pemerintahan moden negara kita sebagaimana yang dikehendaki oleh yang Maha Pencipta Allah SWT.

Mereka bimbang tiada keupayaan dan kemampuan melaksanakan undang-undang Islam lalu mendatangkan fitnah kepada Islam.

Persoalannya negara kita telah merdeka hampir 60 tahun dan telah berjaya melahirkan ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang sama ada menerusi universiti dalam negara mahupun yang dididik di luar negara.

Jika isu kepakaran tenaga menjadi halangan untuk pelaksanaan undang-undang, bukankah universiti dalam negara kita mempunyai fakulti undang-undang Islam? Manfaatkan pensyarah dan "best student"nya untuk membantu pelaksanaan syariat atau undang-undang Islam.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Share on Myspace