2017: Tahun bebanan, harga barang keperluan naik

JOFRI JARAIEE | .

RAKYAT Malaysia menyambut tahun 2017 dengan kenaikan harga beberapa barang keperluan seperti kenaikan harga petrol, tayar, harga barangan keperluan sekolah terutama pakaian dan lain-lain barang keperluan harian.
 
Menurut satu laporan, jika sebelum ini ibu bapa memperuntukkan sekitar RM100 hingga RM150 bagi seorang anak, namun pada tahun ini mereka perlu menyediakan lebih RM200 untuk membeli pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis.
 
Kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga minyak yang dijangka pada tahun 2017 ini sudah pasti akan memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.
 
Apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini sekiranya tiada kawalan dan pemantauan yang menyeluruh terhadap kenaikan barang keperluan ini dan sudah pasti akan membebankan rakyat yang kurang berkemampuan dan yang berpendapatan rendah.
 
Kesan dari kenaikan harga barang keperluan ini memang beban bagi rakyat kerana mereka terpaksa membelanja lebih daripada tahun sebelumnya.

Pada ketika ramai yang terpaksa berhenti kerja akibat dari pembuangan pekerja dan kesan dari krisis ekonomi dunia yang merudum menyebabkan kehidupan rakyat semakin terdesak dan terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan.
 
GST juga perlu dimansuhkan dan subsidi petrol untuk kenderaan yang menggunakan RON95 dan diesel perlu dikembalikan semula. Pengangkutan awam seperti teksi, bas, lori yang membawa barang keperluan perlu dikawal sepenuhnya agar mereka tidak menaikkan harga tambang apabila kerajaan memberi subsidi untuk pengangkutan awam.
 
Kita menggesa agar pihak kerajaan dapat mengurangkan bebanan rakyat dengan memansuhkan GST dan hanya mengenakan cukai ke atas barang mewah dan subsidi dikembalikan semula untuk mengurangkan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.
 
Harap pihak kerajaan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah yang membebankan rakyat ini agar kehidupan rakyat pada 2017 ini tidak seteruk seperti tahun sebelumnya. - HARAKAHDAILY 1/1/2017

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Share on Myspace