Kelantan garis enam strategi bagi harungi 2017

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

Ketua Pegawai Operasi Ladang Rakyat, Mohd Khairi Azmi Yusof  menerima anugerah daripada Menteri Besar Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggariskan enam strategi bagi menjayakan tema ‘Kelantan Sejahtera Untuk Islam: Peranan Penjawat Awam’ sempena tahun baru 2017.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata antara strategi itu, ketelusan dan kecekapan urustadbir, berhemat dalam perbelanjaan.

Menurutnya, selain itu pengukuhan sumber hasil, pengembangan ekonomi rakyat, pembangunan untuk rakyat.

“Yang keenam penggiatan dakwah dan bina Insan,” ujarnya.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu bagi menjayakan setiap agenda kerajaan negeri.

“Yakinlah dengan kesepakatan dan saling memperbaiki antara satu sama lain akan menjadikan negeri ini sentiasa aman,” ujarnya lagi.

Beliau turut mendedahkan, menerusi pengembangan ekonomi rakyat, kepesatan pembangunan di Kelantan telah mendorong pengurangan kadar kemiskinan di negeri itu.

Katanya, dalam tempoh antara tahun 1999 hingga 2012, seramai 34,440 orang telah berjaya dikeluarkan daripada paras kemiskinan, manakala  11,480 orang berjaya dikeluarkan daripada paras kemiskinan tegar.

“Tahniah diucapkan kepada jabatan dan agensi yang telah menyumbang secara langsung atau tidak  dalam aspek ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya sempena majlis amanat khas dan perhimpunan penjawat awam negeri Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Hadir sama, ketua-ketua jajahan, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri semua peringkat.

Sementara itu, Ahmad turut menyampaikan anugerah pencapaian pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti bagi tahun 2015.

Anugerah itu diberikan kepada 13 jabatan dan agensi.

Antaranya, Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pembangunan Negeri, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Jabatan Air Negeri Kelantan.

Turut menerima anugerah, Majlis-Majlis Daerah Pasir Putih, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah dan beberapa lagi. – HARAKAHDAILY 3/1/2017

Share on Myspace