Selamat mulakan alam persekolahan

USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN | .

Alhamdulillah hari ini 3 Januari 2017 bermula hari persekolahan di negeri Perak dan beberapa negeri yang lain. Sememangnya hari persekolahan ini menjadi hari penting bagi murid yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan.

Di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, terdapat dua institusi pendidikan yang turut gigih merancang dan mengurus pengajaran dan pembelajaran yang kini bersedia menerima kehadiran pelajar iaitu Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Dengan keseimbangan konsep pendidikan duniawi dan ukhrawi, PASTI dan SRITI menerapkan elemen 5M (Membaca, Mengira, Menulis, Menghafal dan Mengamalkan) sebagai kejayaan dalam mentarbiyyah. Terima kasih kepada ibu bapa yang memilih SRITI dan PASTI sebagai pusat pendidikan untuk anak-anak anda.

Buat murid-murid khususnya di seluruh negeri Perak, selamat menjalani hari persekolahan. Tuntutlah ilmu dengan baik kerana satu hadith menyebut:

أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ:وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقًايَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا,سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الجَنَّةِ

Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (H.R Muslim)

Buat ibu bapa, semoga terus menjadi pemangkin motivasi kepada anak-anak. Dalam kejayaan mereka kita memuji mereka dan kembalikan pujian kepada Allah dan ketika anak-anak jatuh gagal, kita menaikkan semangat mereka untuk teruskan mencari kejayaan dalam menuntut ilmu. Ibu bapa adalah insan yang paling berperanan dalam membentuk anak-anak. Sabda Baginda SAW:

كل مولود يولد على الفطرة ، فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci, ibu bapalah yang akan mencorakkan anak tersebut sama ada jadi yahudi atau nasrani atau majusi." (HR Bukhari dan Muslim)

Buat pendidik yang istiqamah menyampaikan ilmu, membentuk insan berilmu, bertaqwa dan beramal, diharapkan terus ikhlas dalam tugasan mendidik dan DPPN Perak mendoakan kebahagiaan, kesabaran ketenangan juga kejayaan kepada semua guru. Terima kasih buat seluruh warga pendidik. Tanpa anda siapalah kami.

"Inilah Penyelesaian Kita"
"Bertekad Melebar Muafakat"
Pemuda Istiqamah Peneraju Kemenangan"

Mohd Akmal Haji Kamarudin
Ketua Pemuda PAS Perak
4 Rabiul Akhir 1438 / 3 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 3/1/2017

Share on Myspace