PAS gesa perhalusi tubuh jawatankuasa Ombudsman

NASRUDIN HASSAN | .

PAS GESA PERHALUSI SEMULA PENUBUHAN JAWATANKUASA OMBUDSMAN TANGANI GEJALA SALAH LAKU PENJAWAT AWAM

Perkembangan kes salah laku penjawat awam menunjukkan semakin ketara sejak akhir-akhir. Terbaru, penangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang penjawat awam berpangkat tinggi membuktikan integriti dan keyakinan awam terhadap agensi kerajaan semakin terhakis. 31,236 orang penjawat awam telah dikenakan tindakan tatatertib dari pelbagai kesalahan sejak 2010. Ini termasuklah kes-kes berprofil tinggi melibatkan jutaan ringgit yang berjaya diberkas pihak SPRM.

PAS menggesa agar jawatankuasa Ombudsman ditubuhkan dan diperhalusi peranannya bagi meningkatkan transparensi dalam agensi kerajaan terutamanya. Jawatankuasa ini mestilah juga bebas daripada pengaruh mana-mana pihak berkepentingan dan mempunyai kuasa undang-undang bagi melakukan penetrasi terhadap agensi kerajaan termasuklah Perdana Menteri selain berhak mendakwa mana-mana agensi yang melakukan salah laku dan penyelewengan.

Malaysia adalah sebahagian daripada ahli 'Asian Ombudsman Association' (AOA), namun malangnya tiada jawatankuasa yang berperanan di peringkat nasional ketika ini. Adapun Biro Pengaduan Awam (BPA) di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diklasifikasikan sebagai jawatankuasa Ombudsman di Malaysia.

Ini kerana BPA tidak mempunyai kuasa undang-undang selain hanya berperanan untuk mendapatkan maklumat tertentu daripada agensi kerajaan yang lain.

PAS menegaskan bahawa salah laku penjawat awam kini sudah semakin kritikal dan perlu ditangani segera. Maka, penubuhan jawatankuasa ini tepat pada masanya bagi memastikan transparensi agensi kerajaan dapat diutamakan sekali gus mengurangkan kes-kes salah laku.

"Inilah Penyelesaian Kita"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 5/1/2017

Share on Myspace