Pengakuan Datuk Bahri amat memalukan negara

USTAZ IDRIS AHMAD | .

PEJABAT Peguam Negara mesti menjawab segera tuduhan Datuk Bahri Mohd Zin bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang mengatakan kecewa dengan siasatan SRC International yang tidak boleh dibawa ke mahkamah, selain tidak mahu bersekongkol dengan perkara yang tidak baik. Jika benar dakwaan  ini, akan melemahkan semangat warga SPRM untuk membenteraskan barah rasuah di negara ini.

Jangan sia-siakan sahaja usaha gigih pegawai SPRM yang bertungkus lumus memerangi rasuah di negara ini. Jangan SPRM ditempelak, mereka hanya berani bertindak kes Pegawai Tinggi kerajaan, tetapi orang atasan yang berkuasa terlepas. Walau pun kita faham, macam mana serius pun SPRM untuk mengheret siapa sahaja ke muka pengadilan, namun setiap kes mesti melalui Pejabat Peguam Negara. Maka al-maklumlah.

Sedangkan SPRM menyiasat kes berbulan-bulan untuk sediakan kertas siasatan. Apabila dibawa ke Peguam Negara maka inilah yang terjadi.

Selalunya mana-mana pemimpin yang korup, mereka akan pastikan bahagian perundangan dan penguatkuasa akan dicengkam terlebih dahulu untuk menyelamatkan kerja buat mereka. – HARAKAHDAILY 6/1/2017

Share on Myspace