Sediakan bas khas untuk pengunjung Hospital Ampang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kesesakan yang dihadapi di sekitar Hospital Ampang perlu diselesaikan menerusi penyediaan bas khusus untuk pengguna yang mahu ke sana tanpa perlu bersesak mencari parkir kenderaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, bas itu perlu dihubungkan berhampiran stesen LRT di sekitarnya dan melalui kawasan yang mempunyai banyak ruang letak kereta.

“Bas ini perlu kerana terdapat tempat letak kenderaan yang terhad sekitar hospital. Pesakit dan pengunjung terpaksa meletakkan kereta mereka di tepi jalan dan berdepan risiko disaman polis.

“Selain itu, kereta tersebut mengganggu lalu lintas dan boleh menyebabkan kemalangan,” katanya dipetik SelangorKini.

Stesen LRT yang berhampiran dengan hospital tersebut adalah Cahaya, Cempaka, Pandan Indah dan Pandan Jaya.

Katanya, jika pihak Hospital Ampang tidak mampu memberikan perkhidmatan bas secara percuma, mereka boleh mengenakan bayaran minimum seperti RM0.50 atau RM1 kepada pengguna dengan kekerapan 30 minit sekali pada waktu puncak dan sejam sekali pada waktu biasa.

“Penyediaan bas khas merupakan penyelesaian yang paling praktikal bagi masalah tempat letak kereta itu. Tidak ada tanah kerajaan yang kosong untuk dijadikan tempat letak kereta di kawasan itu.

“Tambahan pula harga tanah adalah tinggi di Ampang dan tidak berbaloi untuk dibangunkan sekeping tanah sebagai tempat letak kereta sahaja. Kecuali bangunan tempat letak kereta sedia ada hospital itu dibangunkan semula dengan ditambah bilangan tingkat,” katanya.

Share on Myspace