Ahli gabungan bolehkan badan Islam sertai PAS

MOHD FADLI GHANI | .

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS: AHLI GABUNGAN MEMBOLEHKAN BADAN-BADAN ISLAM MENYERTAI PAS

SALAH satu sumber kekuatan organisasi ialah keahlian. PAS pada awal penubuhannya mempunyai tiga jenis keahlian untuk membolehkan PAS membina kekuatan organisasinya. Undang-undang Nombor 11 Undang-undang Tubuh PAS 1951 menetapkan keahlian tiga jenis keahlian PAS, iaitu pertama, ahli PAS. Mana-mana individu yang beragama Islam dan aqil baligh menurut hukum syarak serta menjadi rakyat mana-mana negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu atau rakyat Persekutuan Tanah Melayu atau rakyat Singapura boleh menjadi ahli PAS. Kedua, ahli bersekutu PAS, dimana sesiapa orang Islam (yang tinggal di Persekutuan Tanah Melayu) dan aqil baligh mengikut hukum syarak tetapi tidak menjadi rakyat bagi mana-mana negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu atau bukan rakyat Persekutuan Tanah Melayu atau bukan rakyat Singapura boleh menjadi ahli bersekutu PAS.

Ketiga, ahli gabungan iaitu sebarang pertubuhan atau persatuan yang berdasarkan Islam mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS, kemudiannya telah bergabung dengan PAS. Dalam Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1955, Fasal 8(1)(c) dan Fasal 32, memperuntukan kewujudan ahli-ahli gabungan iaitu sebuah pertubuhan atau persatuan Islam yang mempunyai perlembagaan yang diakui oleh kerajaan, mempunyai peraturan-peraturan yang teratur dan tujuan-tujuan yang nyata, mengakui PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang tunggal di Persekutuan Tanah Melayu, mengakui kebenaran politik PAS, mengaku taat kepada undang-undang dan peraturan serta keputusan-keputusan mesyuarat PAS yang diadakan dari satu masa ke satu masa, mengaku boleh bertolak ansur dalam sesuatu perselisihan faham kalau-kalau berbangkit dan keputusan muktamad diikut dengan segala senang hati serta dipersetujui oleh sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli (pertubuhan itu) yang sedia ada.

Dengan kewujudan ahli gabungan PAS ini, beberapa badan Islam yang mempunyai dasar yang sama dengan PAS semenjak 1951 boleh bergabung dengan PAS untuk menegakkan Islam di negara ini. Pertubuhan yang pertama menyatakan minat untuk menjadi ahli gabungan PAS ialah Persatuan Ulamak Kedah (PUK) yang ketika itu dipimpin oleh Tuan Guru Haji Hussein Che Dol yang juga Naib Yang Dipertua Agung PAS. Dalam taklimat tentang dasar dan tujuan PAS kepada PUK yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki pada 2 Februari 1952, telah timbul usul supaya PUK bergabung dalam PAS, tetapi cadangan ini tertangguh.

Pada 1954, Undang-undang Tubuh PAS telah dipinda untuk memperkemaskan konsep ahli gabungan PAS sehingga melancarkan proses penubuhan PAS Singapura yang terikat dengan Ordinance of Society Singapore 1952. Pada 8 Mei 1954, kerajaan Singapura telah menolak pendaftaran PAS Cawangan Singapura yang dikemukakan sejak 1952 kerana tidak mematuhi peruntukan ordinan tersebut. Ekoran peruntukan baru Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1955, PAS Singapura ditubuhkan semula pada 24 Februari 1957 dan diluluskan pendaftarannya pada 6 Ogos 1958 sebagai ahli gabungan PAS.

Bertolak dari cadangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu untuk menubuhkan 'Melayu Raya' yang menggabungkan Tanah Melayu dengan Brunei, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura, timbul cadangan penubuhan Cawangan PAS di Borneo, tetapi terhalang oleh undang-undang pertubuhan di sana. Ekoran itu, Undang-undang Tubuh PAS dipinda pada 2 Januari 1963 untuk mewujudkan "badan gabungan PAS" menggantikan "ahli gabungan PAS." Dengan itu, Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah) ditubuhkan pada pertengahan 1964 sebagai badan gabungan PAS mengikuti konsep yang dibuat untuk PAS Singapura.

Untuk tujuan itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-11 pada 31 Disember 1962 - 2 Januari 1963 telah meminda istilah "ahli gabungan" yang wujud sejak 1952 kepada  "badan bergabung," sebagai mana yang diperuntukan oleh Fasal 8 Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963. Walau bagaimanapun, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-17 pada 18-20 Jun 1971, telah membuat keputusan untuk menghapuskan keahlian badan gabungan dan mewujudkan satu jenis keahlian sahaja, iaitu "ahli PAS." Sejak berkuatkuasanya Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973, keahlian ahli gabungan atau badan bergabung PAS telah dimansuhkan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
6 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 6/1/2017

Share on Myspace