H355: Himpunan aman dan harmoni

NASRUDIN HASSAN | .

H355 adalah singkatan kepada Himpunan 355. Satu himpunan aman dan bertujuan untuk mengharmonikan ummah dalam memperjuangkan isu pindaan Akta 355.

H355 ini dianjurkan oleh Sekretariat H355 yang menggabungkan ratusan NGO-NGO Islam, parti politik, individu, aktivis masyarakat dan turut mendapat sokongan dari kalangan non-Muslim.

MCA tidak perlu melatah. Malah tidak perlu siapa pun menentang himpunan ini. Justeru himpunan ini akan dianjurkan secara tertib dan mematuhi undang-undang serta dilangsungkan secara aman, harmoni dan mendidik rakyat.

Himpunan 355 ini tiada perarakan jalan raya, tiada gerakan anti keamanan dan tidak mengancam kestabilan negara. Malah himpunan ini akan diserikan dengan pedoman agama yang akan dibimbing oleh Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus.

Himpunan 355 turut dimaknakan dengan Solat Hajat perdana di mana kami akan mengundang Sohibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk membimbing munajat dan menyampaikan Kuliah Khas mengenai RUU355.

Pihak sekretariat penganjur H355 juga membuka jemputan ini kepada semua pihak individu, NGO, parti politik, agensi kerajaan dan mana jua pihak termasuk non-Muslim untuk menyertai himpunan gergasi H355 pada 18 Februari 2017 kelak.

Kita mengharapkan himpunan ini dapat diadakan di Dataran Merdeka pada tarikh yang dijadualkan. Permohonan dari pihak sekretariat penganjur telah dihantar kepada pihak berwajib. Insyaallah, dalam masa terdekat ini kami akan turut mengadap pihak YB Datuk Menteri Wilayah, Datuk Bandar dan PDRM bagi berbincang secara beradab dan tertib.

Kami yakin pihak kerajaan boleh menimbang permohonan yang telah kami hantar itu dengan baik insya-Allah.

Pihak kami akan memberi komitmen sepenuhnya untuk menjaga kebersihan tapak program, keselamatan, ketenteraman awam, keceriaan ibu kota dan akan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa tempatan.

Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera

Nasrudin Hassan
Pengarah Himpunan 355
10 Januari 2017 / 11 Rabiul Akhir 1438
Pelindung Perdana, Beserah - HARAKAHDAILY 10/1/2017

Share on Myspace