Sarawak kehilangan Ketua Menteri berjiwa rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee ketika dihubungi berharap ahli keluarga beliau tabah dalam menghadapi ujian ini.

Beliau berkata Allahyarham merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat dan banyak menyuarakan hak-hak peribumi Sarawak.

"Mungkin ramai yang terkilan khususnya rakyat di luar bandar yang masih memerlukan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri. Walaupun beliau tidak lama jadi Ketua Menteri tetapi banyak benda yang beliau buat untuk rakyat negeri ini," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru katanya, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar bagi seluruh rakyat Negeri Sarawak yang masih memerlukan kepimpinan beliau.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara, Kota Samarahan di Sarawak pada usia 72 tahun. – HARAKAHDAILY 11/1/2017

Share on Myspace