DPPM rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Adenan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Adenan Satem terutama kepada Puan Sri Datuk Jamilah Anu di atas kematian Ketua Menteri Sarawak itu tengah hari ini di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan. Menurut laporan media, kematian Allahyarham adalah disebabkan komplikasi jantung.

DPPM menyifatkan ia sebagai satu kehilangan kepada rakyat Sarawak memandangkan Adenan baru sahaja mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Taib Mahmud pada 2014. Dalam tempoh yang singkat tersebut, Allahyarham telah berjaya membawa perubahan penting yang memberi kebaikan kepada rakyat negeri Sarawak. Sekalipun berbeza dari sudut pandangan politik, DPPM turut menghargai beberapa pandangan dan langkah politik yang diambil oleh Allahyarham yang selari dengan perjuangan dan prinsip Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

DPPM mengharapkan agar keluarga Allahyarm dapat bersabar di atas ujian kehilangan ini dan semoga proses transisi teraju kepimpinan kerajaan negeri Sarawak dapat berjalan dengan lancar. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Salam Takziah.

Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 11/1/2017

Share on Myspace