Rizab BNM susut, ringgit berisiko diserang?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keupayaan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk campur tangan dalam pasaran tukaran asing sekiranya diperlukan semakin terhad.

Ia berlaku apabila dalam masa singkat rizab antarabangsa bank pusat itu merosot kepada USD94 bilion (RM420.6 bilion) setakat 30 Disember berbanding USD96.4 bilion (RM431.34 bilion) pada 15 Disember 2016.
 
Mantan Timbalan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakop berkata, kegagalan BNM bertindak balas sekiranya berlaku serangan terhadap ringgit bakal menyebabkan nilai ringgit terus merosot ke paras lebih rendah, lapor SelangorKini, semalam.

“Bila rizab BNM merosot keupayaan BNM untuk campur tangan dalam pasaran tukaran asing adalah terhad. Kalau ringgit tertekan, kena serangan spekulatif memang BNM tak mampu bertindak balas. Ini menyebabkan nilai ringgit terus turun.

“Macam mana dia nak bertindak balas dengan keadaan rizab yang tak cukup. Perkara yang saya perlu sebut, BNM perlu memikirkan secara serius untuk mengembalikan langkah kawalan modal dengan mengikat ringgit pada dolar AS seperti yang pernah dilakukan pada 1998. Kembali kepada rejim kekangan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi negara yang suram dan ditambah dengan pelbagai faktor dalaman seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) nilai ringgit sukar dipulihkan ke paras lebih kukuh.

Katanya, BNM didakwa gagal meningkatkan rizab antarabangsanya walaupun selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menasihatkan supaya BNM meningkatkan pegangan rizabnya.

“Sebab itulah IMF menasihatkan BNM meningkatkan pegangan rizab antarabangsa tetapi nampaknya bila kita lihat rizab BNM terus merosot bermakna BNM tak mampu memperkukuhkan rizab antarabangsa.

“Ini boleh menyebabkan ringgit kena pukulan teruk sekiranya berlaku serangan spekulatif,” katanya.

Share on Myspace