Jangan tinggalkan perjuangan ini

NASRUDIN HASSAN | .

Ujian perjuangan ini semakin mencabar. Ia datang dari pelbagai arah yang sukar kita jangka, sama ada dari luar dan lebih parah lagi ia datang dari dalam.

Namun itulah tabiat perjuangan ini. Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad: 31)

Asal kita yakin perjuangan kita benar dan berlandaskan syarak, maka bertahanlah semampu mungkin. Jangan mengalah dengan ujian yang berupa mehnah dan ibtila' ini.

Ia adalah tribulasi yang hadir dalam wajah fitnah dan tohmahan kepada kita, kepada alim ulamak kita, pimpinan kita dan jamaah kita. Bersabarlah! Hayatilah seerah perjuangan Nabi kita Muhammad SAW.

Baginda SAW yang paling dahsyat diuji. Tekanan musuh dari luar dan munafiq dari dalam, namun teguh memimpin ummah. Bak kata sahabat saya Dr Riduan Mohamad Nor "dunia hanya ditakluki sang pemberani".

Masihkah anda ingat melalui sirah Baginda SAW. Apabila kuffar Quraisy mengancam Baginda SAW, tetiba Abu Talib bapa saudara Baginda SAW yang selama ini menjaga dan mempertahankan Baginda, juga beralah dengan tekanan Quraisy lalu meminta Nabi SAW berhenti dari menjalankan kerja-kerja dakwah dan perjuangan Baginda.

Tanpa jejas dengan apa yang berlaku, Nabi SAW menegaskan:

يا عمّ، واللهِ لو وَضَعُوا الشمسَ في يمينى والقمرَ في يساري على أن أترُكَ هذا الأمر حتى يُظهره الله، أو أهلك فيه ما تركتُه

Wahai bapa saudaraku! Demi Allah! Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan pejuangan ini, nescaya aku sekali-kali tidak akan meninggalkannya sehinggalah perjuangan ini menang atau aku mati binasa kerananya. (SIrah Ibnu Ishak)

Nasrudin Hassan
Taman Pelindung Perdana
12 Januari 2017 / 13 Rabiul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 12/1/2017

Share on Myspace