Hujan tiada, bah masih tenggelami kampung

ASLANI M | .

TUMPAT: Biar pun cuaca di Kelantan cerah dan tiada lagi hujan, namun beberapa kampung di Pengkalan Kubor masih lagi digelangi air bah.

Limpahan air Sungai Golok minggu lepas masih bertakung memandangkan aliran keluar tersekat dengan jalan Kesban.

Masalah itu berlarutan sejak sekian lama biar pun pelbagai janji kerajaan pusat bagi mengatasi masalah tersebut didengari.

Terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji membina jambatan di Kampung Nibong membabitkan kos RM10 juta bagi mengatasi masalah air bertakung.

Projek jalan Kesban tidak mempunyai kemudahan pintu air yang lengkap menyebabkan limpahan air Sungai Golok tersekat untuk keluar.

Keadaan itu menyebabkan banyak rumah penduduk termasuk di Kampung Bendang Pakyong masih lagi digelangi air bah.

Banjir tanpa hujan tersebut menarik simpati banyak pihak bagi menyalur bantuan kepada penduduk termasuk Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Kelantan.

Kelmarin, Rehda yang diketuai Timbalan Pengerusinya Datuk Samsuri Awang Mat menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada penduduk di Bendang Pakyong.

“Banjir sudah pun hampir pulih tetapi pasukan CSR RehdaKelCare terus membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya melalui kenyataan di media sosial.

Rehda menggerakkan misi itu dengan tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori mengagihkan beras, gula dan keperluan lain kepada penduduk.

Menurutnya Kelantan saban tahun dilanda banjir, sama ada besar atau kecil.

“Kalau dahulu walaupun banjir lebih besar kita hanya melihat pihak kerajaan sahaja yang membantu.

“Tetapi sekarang tidak lagi begitu, rakyat biasa pun turut membantu semampu yang boleh,” katanya.

Sebelum itu CSR REHDAcare juga menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Sokor, Kerilla dan Kuala Tiga di Tanah Merah.

Program tersebut mendapat kerjasama Penyelia Dun Gual Ipoh Wan Yusoff Wan Mustafa dan petugas Majlis Tindakan Dun berkenaan.

Wan Yusoff merakam ucapan terima kasih di atas keprihatinan REHDAcare yang turut membantu mangsa banjir di Dun Gual Ipoh. - HARAKAHDAILY 12/1/2017

Share on Myspace