Wakil rakyat PAS selepas Pilihan Raya Umum 1955

MOHD FADLI GHANI | .

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS: WAKIL RAKYAT PAS SELEPAS PILIHAN RAYA UMUM 1955

PILIHAN Raya Umum 1955 yang berakhir pada 27 Julai 1955 adalah pilihan raya yang pertama dalam sejarah negara ini selepas Pilihan Raya Bandaran diadakan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1 Disember 1951 dan di Kuala Lumpur pada 16 Februari 1952, diikuti oleh Melaka, Johor Bahru, Seremban dan Ipoh sepanjang 1952. Tuntutan pilihan raya yang dibuat oleh rakyat Malaya sejak 1953 telah berjaya mendapatkan hak memilih pemerintah ke arah berkerajaan sendiri. Pilihan raya ini diadakan secara berperingkat bermula di peringkat Majlis Undangan Negeri-negeri sejak Oktober 1954 dan berakhir dengan Pilihan Raya Umum Persekutuan pada 27 Julai 1955.

Pada 27 Mac 1954, PAS telah mengambil pendirian untuk menyertai Pilihan Raya Umum Negeri dan Persekutuan 1954-1955 ini. PAS kemudiannya membentuk Jawatankuasa Kecil Pilihan Raya yang diketuai oleh Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias bagi menyusun rancangan-rancangan PAS berkait dengan pilihan raya tersebut. Pilihan raya ini bermula di Terengganu dan Johor pada 10 Oktober 1954, diikuti serentak oleh pemilihan di peringkat bandaran di Ipoh, Taiping, Teluk Anson, Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Kelang dan Port Swettenhem yang berlangsung antara Ogos hingga Disember 1954. PAS tidak menyertai kebanyakan daripada pilihan raya ini kerana PAS belum mempunyai cawangan di tempat-tempat tersebut dan pendaftaran PAS sebagai parti politik juga belum diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

PAS hanya meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri di Kelantan (tiga calon), Pahang (enam calon), Perlis (lima calon), Selangor (dua calon) dan Perak (empat calon), yang menjadikan keseluruhan calon PAS dalam Pilihan Raya Negeri 1954-1955 ini seramai 20 orang. Adapun di peringkat Persekutuan, PAS telah meletakkan seramai 11 orang calon daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, dengan pecahan Seberang Perai (satu calon), Perak (tiga calon), Selangor (dua calon), Pahang (satu calon), Kedah (satu calon) dan Kelantan (tiga calon).

Setelah semua pilihan raya selesai pada 27 Julai 1955, PAS telah berjaya memenangi hanya satu kerusi Majlis Undangan Negeri daripada 268 kerusi di seluruh Malaya iaitu di Kerian Barat, Perak. Wakil rakyat tunggal PAS yang memenangi kerusi Majlis Undangan Negeri (State Legislative Council) Perak ini ialah Mohd Kamal Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Di Majlis Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council), PAS juga hanya memenangi satu kerusi sahaja menerusi Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin yang mengalahkan calon Perikatan dan Parti Kebangsaan Perak (NAP) di Kerian. Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin sebagai wakil tunggal pembangkang di Majlis Undangan Persekutuan dikenali sebagai "Encik Pembangkang (Mr Opposition)".

Walaupun dalam pilihan raya ini PAS hanya mempunyai seorang wakil di Majlis Undangan Persekutuan dan seorang wakil di Majlis Undangan Negeri, keadaan politik Tanah Melayu telah berubah menjelang kemerdekaan yang turut mengubah kedudukan wakil rakyat PAS. Ketidakpuasan hati beberapa wakil rakyat Umno/Perikatan terhadap proses kemerdekaan terutama berkait kedudukan orang Melayu dan agama Islam telah menyebabkan mereka beralih kepada PAS. Pendirian PAS yang tegas dalam Kongres Kebangsaan Melayu Kedua di Kuala Lumpur pada 4-7 Mei 1957 telah menarik sejumlah tokoh-tokoh Umno untuk menyertai PAS termasuk Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani, Setiausaha Umno Negeri Sembilan yang juga Dato' Seri Maharaja Diraja Luak Sungai Ujong.

Antara Ahli Majlis Undangan Negeri yang paling terkenal menyertai PAS selepas merdeka ialah bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS sendiri iaitu Tuan Guru Haji Hussein Che Dol iaitu wakil rakyat Jerai (Kedah). Beliau yang merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang juga Yang Dipertua Persatuan Ulamak Kedah (PUK) telah memilih kekal bersama Umno selepas penguatkuasaan disiplin parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, tetapi kembali bersama PAS selepas merdeka. Dua lagi tokoh Umno yang menyertai PAS ialah Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang, Terengganu) dan Abdul Rahman Daud (Pasir Mas Tengah, Kelantan). Kedua-dua mereka adalah tokoh politik yang terkenal di Terengganu dan Kelantan sebelum menyertai PAS.

Keempat-empat Ahli Majlis Undangan Negeri PAS yang mewakili kawasan Kerian Barat (Perak), Jerai (Kedah), Marang (Terengganu) dan Pasir Mas Tengah (Kelantan) serta Ahli Majlis Undangan Persekutuan kawasan Kerian telah dicalonkan semula oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum 1959. Mohd Kamal Ahmad yang bertanding di DUN Kuala Kurau (Perak), Tuan Guru Haji Hussein Che Dol di Parlimen Kedah Tengah dan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin di Parlimen Kerian Laut walau bagaimanapun telah tewas kepada calon Perikatan. Dua lagi wakil rakyat PAS yang dicalonkan semula iaitu Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar di DUN Marang (Terengganu) dan Abdul Rahman Daud di DUN Rantau Panjang (Kelantan) telah mempertahankan kerusi mereka dan masing-masing dilantik sebagai Speaker DUN Terengganu dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 12/1/2017

Share on Myspace