USM gerak misi kemanusiaan ke Thailand

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) turut menghantar lapan wakilnya dalam misi bantuan banjir di Nakhon Si Tammarat.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Ahmad Sukari Halim berkata mereka pergi di atas platform Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melakukan pemeriksaan kesihatan secara umum.

Selain itu mereka juga ditugaskan untuk membersihkan kediaman, sekolah dan masjid yang terlibat bersama 46 lagi anggota NGO lain.

"Mereka diberi diberi peluang untuk membantu mangsa banjir di Thailand di samping merapatkan hubungan kita dengan NGO luar.

"Kita menyediakan tempat berkumpul di sini sebagai salah satu agenda bagi memberi sokongan terhadap usaha kemanusiaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan 14 pacuan empat roda di 12 Kompeni Ubat Wataniah, USM Kampus Kesihatan di sini petang tadi.

Dalam pada itu, seramai 46 orang daripada 18 NGO mengambil inisitif menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di selatan Thailand.

Mereka bergabung di bawah satu Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) yang diketuai Prof Dr Dinsuhaimi Sidek.

Konvoi yang disertai 14 kenderaan pacuan empat roda akan mengagihkan sumbangan seperti 'hygiene kits', makanan, ubat-ubatan, sejadah dan kain sembahyang.

Menurutnya misi bantuan banjir di Nakhon Si Tammarat diadakan memandangkan kawasan itu paling teruk terjejas akibat bencana banjir.

"Misi ini untuk membantu semua mangsa terlibat termasuk orang bukan Islam keranan kawasan ini majoritinya penduduk bukan Islam," katanya.

Antara NGO terlibat seperti Mycare, Ikram, KEMAHANGcare, PKINK, PPSUSM, MESRA, KEK4X4, Crocs 4x4, Isuzu, Mra, Kuwak, PKB, Arkb, Az Solution, MKD, 12 Kompeni Ubat Askar Wataniah, IMARET dan MCOBA. - HARAKAHDAILY 12/1/2017

Share on Myspace