H355: Angkat Mahkamah Syariah untuk umat Islam

AHMAD AMZAD HASHIM | .

H355: Himpunan Solidariti Mengangkat Peranan Mahkamah Syariah Untuk Umat Islam

H355 Himpunan Mega yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 Februari 2017 adalah demi kepentingan agama Islam dan seluruh ummatnya. Ia bukan untuk ahli dan penyokong PAS sahaja. Warna tema yang ditetapkan adalah Ungu. Ia bukan Hijau yang menjadi identiti PAS. Kerana ia untuk semua.

Moga dengan himpunan yang besar maka ahli ahli parlimen tanpa mengambil kira parti politik manapun menerima isyarat jelas dan boleh berfikir serta faham bahawa jika rakyat boleh mengenepikan perbezaan politik demi suatu urusan yang penting dalam memperkasakan peranan institusi Mahkamah Syariah, maka sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, wajar berjiwa besar menghayati isyarat berkenaan dengan menterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada Rang Undang Undang 355 di Parlimen.

Bagi ahli Parlimen bukan Islam pula adalah diharapkan semoga mengambil sikap menghormati ini sebagai urusan agama dan umat Islam yang tidak wajar dicampuri sementelah bertindak menghalang dan menghina usaha berkenaan demi menjaga keharmonian serta hak kebebasan mengamalkan ajaran agama selain Islam yang tidak pernah diganggu umat Islam. Sekurang kurangnya ambillah pendirian berkecuali. Jangan dilihat oleh umat Islam sebagai menentang dan campurtangan.

RUU355 langsung tidak melibatkan orang bukan Islam. Mahkamah Syariah hanya untuk orang orang Islam sahaja.

Malah tiada halangan malah digalakkan bagi bukan Islam untuk menyertai sama H355 sebagai tanda solidariti dan menghormati hak umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam yang menjadi kewajipan terhadap setiap individu orang Islam.

Ia boleh membuka lembaran baru saling menghormati hak kebebasan mengamalkan agama. Mengamalkan ajaran Islam bagi umat Islam sementelah lagi agama Islam ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama Persekutuan. Seperti umat Islam menghormati hak penganut agama selain Islam mengamalkan ajaran agama masing masing.

Adalah tanggungjawab setiap individu Islam dalam kadar kemampuan masing masing menyumbang kepada kejayaan usaha yang penting ini.

Sertailah himpunan H355 sebagai isyarat yang sangat penting.

Hadirlah.

Semoga tercatat dalam memori tuan puan bahawa anda telah berada di sana di saat penting pemerkasaan undang undang syariah ini dan menjadi sebahagian sejarah yang sedang dilakari.

Jangan pula anda suatu masa kelak dikenang manusia dan dicatat amal sebagai penghalangnya serta banyak dolak dalihnya dalam urusan yang mendapat endorsement semua pihak termasuk para mufti seperti Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan.

Jumpa di sana dan ajaklah saudara mara, jiran tetangga dan rakan rakan sekali ya. - HARAKAHDAILY 13/1/2017

Share on Myspace