MCA diundang hadiri Himpunan Akta 355

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: PAS berharap agar semua pihak termasuk bukan Islam dapat menghadiri Himpunan menyokong Akta 355 pada 18 Februari di Kuala Lumpur.

Usaha tersebut sekali gus dapat mengelakan sebarang provokasi serta memberi penerangan terhadap usaha memartabatkan Mahkamah Syariah.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS akan menjemput MCA dan golongan bukan Islam.

Menurutnya, usaha tersebut bagi mengelakkan timbul salah faham yang boleh menimbulkan pandangan serong terhadap Rang Undang-undang (RUU) 355.

"Ini merupakan sebahagian daripada tujuan program ini diadakan selain mewujudkan keamanan dalam negara.

"Kerana kalau kita biarkan suasana ini berterusan ia akan mencetuskan keadaan tidak stabil, jadi mereka perlu hadir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan tazkirah di Medan Ilmu Jalan Dato' Pati di sini, pagi tadi.

Himpunan 355 itu akan diadakan pada 18 Februari bertempat di Dataran Merdeka bermula jam 3 petang.

Perhimpunan aman yang anjuran bersama PAS dan beberapa NGO Islam bagi menzahirkan sokongan terhadap usaha memartabatkan Mahkamah Syariah.

Pada majlis itu pelbagai pengisian dilakukan seperti ceramah, solat hajat, munajat perdana, sesi soal jawab dan sebagainya.

Sebelum ini MCA dan parti-parti bukan Melayu termasuk DAP menentang keras usaha PAS membawa usul persendirian ke parlimen bagi meminda Akta 355. - HARAKAHDAILY 13/1/2017      

Share on Myspace