Jangan mangsakan sekolah agama untuk kepentingan politik

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Islam tidak pernah anti bahasa dan bangsa kerana semuanya anugerah Allah kepada kita semua. Malahan Islam menggalakkan belajar bahasa lain. Sebagaiman sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Belajarlah bahasa asing nescaya kamu aman dari tipu daya". Tidak ada sejarah pemerintahan Islam yang menutup sekolah bahasa asing. Ini menunjukkan walaupun Islam tidak ada negara, namun ia masih ada penghayatan Islam di dalam diri umat Islam.

Kita mengharapkan supaya Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai  menarik balik kenyataan beliau yang mengatakan sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular. Satu kenyataan yang biadab dan tidak memahami sejarah pembinaan negara.

Kalau atas alasan ada pelajar keluaran sekolah agama ekstremis, maka kita juga boleh beri alasan pelajar sekolah vernakular, sekolah aliran Inggeris, aliran kebangsaan juga ada melahirkan  golongan ekstremis. Apakah kita mahu cadang supaya sekolah ini juga dihapuskan? Tentu tidak. Ini adalah kes yang terpencil.

Sama seperti pandangan Dr Dominic yang dianggap tidak menjaga sensitiviti majoriti umat Islam, apakah kita hendak menghukum keseluruhan ahli Parti Gerakan yang lain. Saya yakin masih ramai orang yang rasional di dalam Parti Gerakan.

PAS berpegang kepada konsep demokrasi di dalam pendidikan, asalkan ia menepati dengan pembinaan tamadun bangsa dan negara, maka ia dibenarkan beroperasi di dalam negara kita.

Dr Dominic sendiri boleh hantar anak ke sekolah agama atau beliau sendiri pun boleh belajar. Tidak ada larangan untuk beliau belajar di sekolah agama. Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah menerima pelajar bukan Islam untuk belajar di sana. PAS tidak paksa mereka.

Sejak mutakhir ini menjadi trend parti bukan Islam untuk memburuKkan Islam bagi mendapat sokongan politik. Sebelumnya isu 355 untuk memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah, tetapi digambarkan dengan sudut negatif. Ini sikap yang tidak baik dan mengganggu keharmonian kaum yang telah dibina sejak negara merdeka. Jangan rosakkan perpaduan ini, semata-mata untuk keuntungan yang tidak seberapa tetapi memusnahkan sebuah negara. Carilah modal lain, jangan mangsakan Islam. Perlu ingat isu agama cukup sensitif dalam kalangan orang Islam.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
14 Rabiul Akhir 1438/ 13 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 13/1/2017

Share on Myspace