PAS Sarawak ucap tahniah atas perlantikan Abang Johari

JOFRI JARAIEE | .

PAS SARAWAK UCAP TAHNIAH ATAS PERLANTIKAN DATUK AMAR ABANG JOHARI TUN OPENG SEBAGAI KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak mengucapkan tahniah kepada Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam di Astana Negeri di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Jumaat, 13 Januari 2017.

PAS Sarawak mendoakan beliau diberi kekuatan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab memimpin rakyat Sarawak ke mercu tanda kecemerlangan. PAS juga berharap beliau dapat meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem khususnya dalam polisi-polisi mesra rakyat dan keputusan-keputusan yang mengutamakan kepentingan umum.

Selaku Menteri yang memegang portolio Hal Ehwal Islam kini, PAS Sarawak secara khusus berharap agar Ketua Menteri dapat terus memastikan agenda umat Islam terus diperkasakan tanpa mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat majmuk Bumi Kenyalang. Semoga rakyat Sarawak mengekalkan kehidupan yang mesra, bahagia dan damai muhibbah sentiasa.

PAS Sarawak yakin dengan pengalaman kepimpinan beliau yang telah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari akan dapat membawa Sarawak terus aman, maju dan kekal makmur di bawah lembayung rahmat Allah. Ini sesuai dengan lirik lagu Negeri Sarawak “Kekallah Sarawak bertuah, teras perjuangan rakyat, berjaya berdaulat”.

Haji Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak
14 Rabi’ul Akhir 1438 / 13 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 13/1/2017

Share on Myspace