Wakil PAS pertegas sikap tentang Perlembagaan Reid

MOHD FADLI GHANI | .

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS: WAKIL PAS PERTEGAS SIKAP TENTANG PERLEMBAGAAN REID DI MAJLIS UNDANGAN PERSEKUTUAN

PENGGUBALAN Perlembagaan adalah antara persiapan penting Tanah Melayu dalam menuju kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Selepas Pilihan Raya Umum 1955, tuntutan kemerdekaan yang dibuat oleh parti-parti politik telah memaksa British menubuhkan Suruhanjaya Bebas yang diketuai oleh Lord Reid untuk menggubal cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Rombongan Kemerdekaan yang bertolak ke London pada 1 Januari 1956 telah berunding dengan Kerajaan British antara 18 Januari hingga 8 Februari 1956 untuk mencapai persetujuan berkait kemerdekaan Tanah Melayu. Pada 24 Januari 1956, akhbar Straits Times melaporkan persetujuan Tunku Abdul Rahman Putra terhadap cadangan British untuk pembentukan Suruhanjaya Bebas Perlembagaan.

Suruhanjaya Bebas yang lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid ini kemudiannya telah membuat kajian tentang cadangan Perlembagaan dengan mengadakan 118 kali mesyuarat antara Jun hingga Oktober 1956 dan menerima 131 memorandum daripada pelbagai pihak berkait cadangan Perlembagaan yang baru. PAS sendiri menyerahkan memorandumnya kepada Suruhanjaya Bebas ini pada 14 Julai 1957, sedangkan Perikatan Umno-MCA-MIC berbuat demikian dalam bulan April 1956. Suruhanjaya ini secara umumnya telah menerima sebahagian besar cadangan Perikatan, tetapi tidak melayan pandangan PAS yang memberi penekanan terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang berkesan dan ketuanan orang Melayu.

Pada 19 Februari 1957, Warta Negara telah menyiarkan Penyata Reid yang akan disemak oleh Jawatankuasa 11 Anggota sebelum ia diserahkan kepada Raja-raja Melayu, dan pada 21 Februari 1957 ia telah diserahkan oleh Suruhanjaya Bebas untuk dikaji oleh jawatankuasa tersebut. Walaupun 80 peratus cadangan dalam Penyata Reid datangnya dari Perikatan, tetapi ia telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu, khususnya ahli-ahli Umno sendiri kerana dikatakan merugikan orang Melayu. Selain parti-parti pembangkang seperti PAS, PN, PR, PMS dan Parti Buruh yang menentangnya, ahli-ahli Umno telah menganjurkan Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 untuk menentang Penyata Reid. PAS sendiri mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 2 Mei 1957 untuk menyatakan sikap terhadapnya.

Setelah melalui pelbagai proses dan rundingan, tetapi gagal mengubah pendirian Perikatan dalam penggubalan Perlembagaan ini, akhirnya PAS telah membawa isu ini ke Majlis Undangan Persekutuan dengan mengemukakan pandangan-pandangan PAS menerusi wakil tunggal PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin. Ketika membahaskan Kertas Putih Perlembagaan di Majlis Undangan Persekutuan pada 10 Ogos 1957, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, wakil rakyat Kerian telah menekankan soal ketidakterlibatan rakyat dalam penggubalan Perlembagaan, sehingga menyebabkan ia tidak memberi manfaat kepada orang Melayu. Persoalan kebangsaan Melayu, kerakyatan jus soli, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu yang disifatkan "nanti akan melenyapkan dan menanggalkan hak mutlak bangsa Melayu di dalam tanah airnya sendiri."

Ketika merumuskan tentang kedudukan orang Melayu, wakil PAS itu mendakwa British lebih mengutamakan orang asing berbanding menjaga ketuanan orang Melayu, sebaliknya orang Melayu sebagai tuan punya negeri hanya dijamin dalam hak-hak tertentu (hak-hak istimewa) sehingga mengecilkan kedudukan orang Melayu, padahal orang Melayu mempunyai hak mutlak dalam negeri ini. Berkait dengan kedudukan Islam, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin yang mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang membawa pengertian sekular, sedangkan PAS mahu Islam benar-benar berdaulat. Menurut wakil PAS itu, Islam yang dikehendaki ialah "agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini, dan kepada pemerintahan negeri ini dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya."

Secara umumnya, wakil rakyat Kerian yang juga Bendahari Agung PAS itu menegaskan lima perkara. Pertama, negeri ini adalah milik mutlak orang Melayu; kedua, orang Melayu mesti diberi keistimewaan sebagai tuan punya negeri; ketiga, kerakyatan negara ini tidak boleh diberi secara mudah mengikut prinsip jus soli; keempat, Islam menjadi agama rasmi yang berpengaruh ke atas pemerintahan negeri; dan kelima, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Pandangan PAS itu walau bagaimanapun gagal mengubah sikap pemimpin Perikatan sehingga Kertas Putih Perlembagaan ini diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1957.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 14/1/2017

Share on Myspace