Pendirian Penasihat PPBM sering berbeza

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kenyataan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap sering berbeza dan tiada pendirian yang jelas.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata sehingga sekarang pendirian pemimpin terbabit didapati sering berbeza untuk bekerjasama dengan PAS.

“Kadang-kadang menjemput PAS untuk bekerjasama, pada masa yang sama pula seolah-olah ingin ‘menumbuk’ PAS.

“PAS sudah lama bersendirian dan melalui pahit getir perjuangan sejak sekian lama,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini dilapor mendakwa PAS akan menjadi parti yang tidak efektif dalam politik negara sekiranya terus kekal dalam pakatan sendiri.

Menurutnya PAS juga tidak akan memenangi pilihan raya dan tidak berupaya berbuat apa-apa sekiranya tidak bekerjasama sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang.

Mohd Amar berkata, kalau benar PAS tidak efektif tidak perlu Dr Mahathir bersungguh-sungguh mengajak PAS bersama mereka.

“Jadi kita boleh bawa haluan dan jalan masing-masing, BPBM boleh bekerjasama dengan parti yang sesuai dengan mereka,” ujarnya.

Mengulas dakwaan Dr Mahathir, DAP lebih kuat berbanding PAS, beliau berkata sekiranya boleh bersama DAP, parti itu tidak perlu menunggu PAS sehingga tempoh sebulan.

Ditanya desakan anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar supaya Exco PAS dalam kerajaan Selangor melepaskan jawatan, Mohd Amar berkata lebih baik pemimpin itu keluar daripada PAS.

Katanya, lebih baik berada di luar PAS, memandangkan kedudukannya sekarang tidak difahami orang ramai.

“Masih sebagai ahli PAS tetapi menyerang PAS sesuka hati,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/2/2017

Share on Myspace