Liku-liku perjuangan Moussa Yaacob bantu etnik Rohingya

IZWAN ABDUL HALIM | .

Tidak mudah untuk membantu pihak yang tertindas oleh politik atau kerajaan hingga berlaku pencerobohan bukan sahaja hak, tetapi juga kezaliman ke atas jasad, nyawa, maruah diri dan harta benda.

Demikian sukarnya dihadapi para aktivis kemanusiaan atau hak asasi dalam usaha ke atas golongan seperti itu termasuk pelarian, etnik minoriti atau mangsa pihak yang melampau. Ia hanya membesarkan ugutan, ketakutan dan risiko.

Namun, ada mereka yang tetap bangkit atas gerak perjuangan, berkorban diri demi menyelamat dan membuka kesedaran kepada lainnya serta menjadi teladan.

Itulah yang telah dibuktikan Tchantchuing Puemo, 29, dari Paris, Perancis dalam pengalamannya membantu pelarian etnik minoriti Muslim Rohingya sejak 8 tahun lalu. Beliau kini dikenali dengan nama Moussa Yaacob setelah memeluk Islam ketika berusia 19 tahun.

Menurut beliau, penglibatan pertamanya bermula dengan kerja amal membantu gelandangan di Perancis yang kebanyakannya datang dari negara umat Islam. Selama 5 tahun, beliau bekerja sebagai sukarelawan yang berfokus pada tugasan itu sebelum menyertai NGO Barakah City.

Atas pengalamannya, Barakah City mempercayakan Moussa sebagai Pengurus Projek pertamanya iaitu membantu golongan Rohingya. Untuk itu, beliau terbang ke Myanmar dan dalam tiga tahun, telah tujuh kali berulang-alik ke Arakan.

Urusan utama dilakukannya adalah melakukan pembahagian makanan disamping menyiapkan testimoni yang ditetapkan pihak NGO. Selain di Arakan dan Sittwe, beliau juga banyak ke kem-kem pelarian di Bangladesh khususnya Khutupalong di Cox's Bazar.

Di mana, setiap kali memasuki Bangladesh untuk urusan tersebut, Moussa pasti berdepan masalah melibatkan imigresen, pihak berkuasa tempatan termasuk tentera. Kebenaran secara sah seakan cuba disukarkan kepadanya.

Hinggalah pada September 2015 ketika ke Teknaf, beliau telah ditangkap di tempat pemeriksaan terakhir dan dibawa ke suatu tempat di mana beliau telah disoal siasat dari jam 7 pagi hingga tengah malam oleh pelbagai agensi.

Namun, setelah gagal menemui sesuatu tuduhan yang berasas kepada dirinya, mereka menjadikan nama Islamnya sebagai alasan hingga mengaitkan beliau dengan pelbagai tuduhan termasuk keganasan.

Usaha Moussa merujuk kepada pihak Kedutaan Perancis ternyata mengecewakannya apabila mereka sekadar memberi reaksi tidak tahu dan melepaskan diri dari usaha membantu membebaskannya. Malah, setelah beberapa ketika barulah beliau tahu bahawa pihak negaranya juga telah memberi gambaran negatif mengenai NGO diwakili Moussa.

Akhirnya setelah melalui pelbagai siasatan dan tanpa pembelaan dari pihak Perancis, beliau telah dipenjarakan. Dalam tempoh itu, dua kali beliau dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan terorisme.

Ekoran itu, Barakah City telah membuat kempen bantahan untuk membebaskannya serta berjaya membuat petisyen dengan mengumpulkan 444,000 tanda tangan. Perhatian awam telah menyebabkan desakan kepada Kerajaan Perancis yang kemudiannya menukar pernyataan terhadap Moussa.

Sekali gus, keadaan itu berubah menjadikan Moussa sebagai individu dan isu penting hingga ia kemudian mendapat pembebasan pada Mac 2016. Katanya, walaupun pihak Kedutaan Perancis ada menemuinya untuk pembebasan itu, tetapi mereka seperti enggan mengambil tanggungjawab atasnya.

Pun begitu, pembebasan diberi kepadanya adalah dengan syarat dan di bawah pemerhatian di mana beliau tidak dibenarkan pulang ke Perancis. Kesempatan di Cox's Bazar itu dimanfaatkan Moussa di mana telah membuka 'Bani Street School' dengan mengambil anak-anak Rohingya yang tercicir.

Malah, kempennya melalui talian (online) telah berjaya mengumpulkan 70,000 Euro untuk membina sekolah tersebut dan membiaya keperluan 34 pelajarnya. Dengan 'kebaikan' dizahirkan itu, beliau akhirnya mendapat pembebasan mutlak pada hujung Julai 2016.

Beliau setelah itu terus pulang ke Perancis dan kemudian datang ke Malaysia untuk menyertai Misi Kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar. - HARAKAHDAILY 16/2/2017                      

Share on Myspace