Himpunan 355: Jangan ada unsur provokasi

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Timbalan Mursyidul Am PAS Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berharap Himpunan RUU 355 Sabtu ini berjalan lancar tanpa ada sebarang provokasi.

Beliau berkata program itu merupakan perhimpunan aman yang dipenuhi dengan program kuliah agama, solat hajat, munajat, hiburan Islam dan ceramah.

“Saya berharap semua pihak yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan pihak penganjur supaya program tersebut berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan kutiupan Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) di Kota Darulnaim hari ini.

Himpunan RUU 355 akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu ini bermula jam 2 petang dianjurkan PAS dengan kerjasama NGO.

Himpunan tersebut bagi membangkitkan kesedaran rakyat terhadap usaha memartabatkan mahkamah syariah di negara ini.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sesiapa sahaja boleh hadir pada program berkenaan termasuk Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mana-mana parti lain.

Menurutnya juga berdasar kepada perkembangan semasa perhimpunan itu bakal dihadiri ratusan ribu umat Islam dari seluruh negara.

“Responnya sehingga sekarang cukup baik dengan kehadiran mungkin di luar jangkaan,” ujarnya.  

Menurutnya juga cuti peristiwa di Kelantan pada Ahad ini bagi membolehkan orang ramai yang hadir pada program berkenaan dapat kembali dengan selamat.

Kata beliau lagi mereka tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali bekerja kerana Ahad cuti di Kelantan. – HARAKAHDAILY 16/2/2017

Share on Myspace