Kehadiran PAN punca penduduk sertai PAS

ASLANI M | .

PASIR MAS: Biar pun Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa berjaya mewujudkan cawangan di Dun Chetok, namun malam tadi seramai 202 lagi penduduk menyerah borang menyertai PAS.

Borang tersebut diserah Adun Chetok Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman kepada Setiausaha PAS Pasir Mas Suhaimi Daud.

Lebih menarik lagi penduduk veteran di Kampung Padang Keranji Chetok, Ahmad Musa tidak mahu parti serpihan tersebut bertapak di kampung terbabit.

Dun Chetok menjadi tempat tumpuan PAN sejak kebelakangan ini, sehingga ada calon difaham sudah dinamakan untuk bertanding di Dun berkenaan.

Menurut penduduk, calon PAN tersebut menemui orang ramai meminta memberi sokongan terhadapnya bertanding di atas tiket PAN.

Sedangkan kata penduduk, ketika ceramah pelancaran parti itu baru-baru ini kehadiran boleh dibilang dengan jari.

“Pemimpin yang berada di pentas lebih ramai berbanding penonton di halaman ceramah,” ujarnya.
Malah kehadiran Ustaz Shamsul Zaman Shukri yang lebih dikenali sebagai Ustaz Budak pada ceramah di Kampung Padang Keranji malam tadi menarik kehadiran ramai penduduk.

Ada yang terpaksa mengikuti ceramah di dalam semak kerana ruang halaman rumah tempat ceramah penuh dengan kehadiran orang ramai.

Suhaimi berkata majlis penyerahan borang akan diadakan lagi di di Dun Chetok memandangkan semakin ramai penduduk terutamanya bekas penyokong Umno berminat menyertai PAS.

Sebelum itu Ustaz Shamsul menyampaikan kuliah di Masjid Galok. Masjid itu agak muram sebelum ini selepas bekas imam di situ dikatakan menyertai PAN.

Ustaz Budak memberi komitmen menyampaikan kuliah di masjid itu sebulan sekali, bermula malam tadi.
Kehadirannya menyebabkan ruang masjid tersebut penuh dengan jemaah dalam kalangan penduduk tempatan.

Pada kuliah itu sekali lagi beliau menafikan menyertai PAN sebagaimana didakwa laman berita milik PAN baru-baru ini.

Ceramah di Kampung Pasir Keranji pula dianjurkan Pemuda PAS Pasir Mas yang menampilkan ketuanya Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim.

Hadir sama S Suria Narayanan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Naib Yang Dipertua PAS Pasir Mas Zuraidin Abdullah. – HARAKAHDAILY 16/2/2017

Share on Myspace