Selangor tanggung kos senggara semua lif

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD | .

KERAJAAN Negeri Selangor akan membiayai kos penyelenggaraan lif di semua pangsapuri kos rendah di dalam usaha untuk membantu penduduk menguruskan pembangunan mereka.

Ia akan melibatkan 405 buah lif di 126 pembangunan sama ada di pembangunan yang diuruskan oleh JMB/MC atau yang di uruskan oleh agen pengurusan. Kerajaan negeri akan membayar terus kepada firma-firma kompeten yang akan menyelenggarakan lif-lif tersebut.

Kos keseluruhan yang diperuntukan oleh kerajaan negeri adalah RM8 juta untuk tempoh 12 bulan. Kos sebulan untuk setiap lif bagi kontrak penyelenggaraan komprehensif yang akan digunapakai adalah dianggarkan RM1,600 sebulan atau RM19,200 setahun.

Sebelum itu, kerajaan negeri akan membaikpulih 88 buah lif yang tidak berfungsi terlebih dahulu. Ia dijangka akan melibatkan kos sebanyak RM22 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Anggaran kos bagi setiap lif adalah RM250,000.

Program baru ini di namakan “SELANGOR SMART LIFE” dengan jumlah peruntukan sebanyak RM30 juta.

Pada ucapan Belanjawan 2017 Dato’ Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali telah mengumumkan peruntukan RM55 juta untuk pengindahan dan membaikpulih pangsapuri di Selangor.

RM30 juta ini adalah daripada peruntukan RM55 juta tersebut. Baki dari peruntukan itu adalah untuk Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA dan PERMAI CERIA iaitu sebanyak RM25 juta.

CERIA adalah skim baikpulih perkongsian kos di antara kerajaan negeri dan penduduk untuk kerja-kerja seperti mengecat bangunan, menukar tangki air, membaikpulih bumbung atau menggantikan saluran air hujan. Sementara PERMAI CERIA adalah skim untuk membantu penduduk melaksanakan migrasi air dari meter pukal kepada meter individu.

Kerajaan negeri menyedari penduduk di pangsapuri kos rendah menghadapi masalah untuk menguruskan pembangunan mereka. Pelbagai program telah diwujudkan seperti CERIA, SEROJA (Skim Rondaan Keselamatan Dan Kejiranan), FOKUS (Format Kurikulum Pembayaran Berstrata) dan LAPOR & DAPAT untuk membantu.

Tetapi masih terdapat juga permintaan agar kerajaan negeri mengambil alih penyelenggaran semua pangsapuri kos rendah. Dengan adanya program baru ini, kerajaan negeri telah meringankan sebahagian dari beban penduduk untuk menyelenggarakan pembangunan mereka.

Kerajaan Negeri Selangor sekarang telah terbukti dapat memberi pembelaan kepada kepada rakyat. Memang tidak dinafikan gandingan yang mantap yang wujud hari ini amat diyakini oleh rakyat kerana dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan mereka. Mereka amat berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri yang sedia ada dan akan menolak sebarang usaha untuk menggantikannya.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor
16 Februari 2017 – HARAKAHDAILY 16/2/2017

Share on Myspace