Rakyat Malaysia tidak mudah terbeli politik murahan

NAZIRAH NASRUN | .

KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat Malaysia tidak kira apa kaum adalah lebih waras, munasabah serta tidak mudah terbeli akan politik-politik murahan.

Demikian ucapan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam sesi Bicara Harakah Himpunan 355 Siri III yang berlangsung di MyHarakah Bazaar, Jalan Pahang Barat, petang tadi.

"Segelintir para pemimpin parti politik seakan berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang lebih anti-Islam, lebih berani mengeluarkan kata-kata kesat dengan harapan mereka akan dapat undi orang bukan Islam.

"Saya sendiri telah memberi penjelasan kepada barisan kepimpinan Parti Ikatan yang bukan Islam mengenai RUU355 dan mereka dengan mudah boleh terima malah mempersoalkan semula mengapa orang-orang tertentu mengeluarkan kenyataan menentangnya," ujar beliau di dalam program tersebut.

Menurut Abdul Kadir, orang Islam di negara ini menghormati agama lain.

Katanya, RUU355 tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam dan ianya adalah hal Muslim semata-mata.

Dengan izin Allah orang-orang bukan Islam daripada Parti Ikatan akan turut serta dalam Himpunan 355 (H355) pada Sabtu 18 Februari ini, katanya.

"Parti yang saya sedang pimpin ini adalah parti berbilang kaum. Sejak merdeka, semua kaum telah buat keputusan bahawa kita hendak hidup sebagai sebuah keluarga, multi-racial country yang mana kesemuanya telah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan.

"Perkara ini mudah, jikalau ikhlas tidak ada masalah langsung untuk orang bukan Islam untuk menyokong RUU355, cuma masih ada pihak tertentu yang hendak mempolitikkannya," jelas beliau.

Antara barisan panelis yang turut serta adalah Pengerusi Majlis Muafakat NGO Negara Datuk Ismail Hamzah, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Datuk Seri Zakaria Jaffar dan mantan Presiden Ikatan Ilmuan Nasional (ILMUAN) Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir sebagai moderator. - HARAKAHDAILY 16/2/2017

Share on Myspace