NGO Islam dari Kelantan akan hadir ke H355

RIZAL TAHIR | .

TUMPAT: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berteraskan Islam, menyatakan sokongan mereka terhadap pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355).

Serentak dengan itu, mereka akan turut serta  bersama-sama ke  perhimpunan menyokong akta berkenaan pada 18 feburari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata perhimpunan pada 18 Feburari ini bakal mencipta sejarah.

Ini kerana, katanya ia bakal menghimpunkan umat Islam yang paling ramai pada satu masa.

"Saya mengalu-alukan semua NGO bersama dengan ahli-ahli masing-masing dari seluruh negara hadir ke  perhimpunan RUU 355.

"Himpunan ini dikira sangat bersejarah terutamanya kepada orang Islam, dalam usaha menunjukan sokongan untuk memperkasakan mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya yang turut disertai oleh NGO Islam di  sebuah restoran Wakaf Bharu, di sini.

Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Masyarakat Islam Prihatin Malaysia (Perkemim), Asmunir Ahmad Fakri berkata, pihaknya menyokong penuh pindaan Akta RUU 355.

"Kami memohon pada kerajaan yang memerintah negara ini menerima usul itu nanti, setelah di bawa ke Parlimen nanti," ujarnya.

Presiden Pertubuhan Ayahanda Anakanda (PAAK) Malaysia, Datuk Suzainal Adnan Syukri, pula memberitahu pihaknya akan menghantar  peserta ke HRUU 355 dengan dua buah bas.

"Kami (PAAK) menyokong penuh RUU 355 ini dan akan menghantar ahli kita sebanyak dua buah bas ke HRUU 355 nanti," ujarnya.

Katanya, ia sebagai tanda  sokongan pihak mereka ke atas pindaan RUU 355 ini.

Sementara itu, Panglima Wilayah Timur, Persatuan Seni Silat Gayung Maarifat Malaysia ( PSSGMM), Ahmad Nasarudin Bolia, turut menyatakan sokongan pindaan RUU 355.

"Kami PSSGMM menyokong penuh dalam mengukuhkan syraiat Islam dengan meminda RUU 355 ini," ujarnya.

Manakala Naib Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) zon timur, Haji Nik Lah Nik Soh, senada dengan NGO Islam yang lain dengan menyokong pindaan RUU 355.

"Saya mewakili Permas Malaysia, menyokong dan mendokong pindaaan RUU 355 iaitu dengan meningkat dan mempertingkatkan syariat Islam di Malaysia," ujarnya.

Katanya, kalau orang Islam sendiri tidak mempertingkatkan undang-undang di Mahkamah Syariah, selama itulah undang-undang Islam di negara ini tidak berubah.

Sementara itu, dalam majlis berasingan Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) cawangan Tumpat, memberitahu, mereka akan menghantar ahlinya ke Himpunan RUU 355 itu nanti.

"Pekida Kelantan telah mengatur untuk  menghantar ahli kami dari Tumpat sebanyak lapan buah bas," ujar Ayahanda Pekida Tumpat, Wan Nasriq Wan Azhan.

Beliau  yang juga Ketua Penerangan Pekida Malaysia yakin himpunan itu akan mendapat sambutan orang ramai dari seluruh negara demi kepentingan umat Islam dan masyarakat seluruhnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2017

Share on Myspace