Mumtaz rakam takziah keluarga mangsa ragut

SALMAH MAT HUSAIN | .

BACHOK: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa ragut Siti Rohani Wahab, 54, yang meninggal dunia sewaktu menjadi mangsa ragut kelmarin.
 
Ucapan takziah itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Mumtaz Md Nawi ketika mengunjungi keluarga mangsa semalam.
 
Turut mengunjungi keluarga berkenaan, Adun Perupok, Mohd Huzaimy Che Hussin dan Penghulu Mukim Telong, Ramli Awang.
 
Mumtaz melahirkan rasa simpati ketika menziarahi keluarga malang itu.
 
Anak bongsu allahyarham, Nor Farah Waheeda Che Hassan, 15 tidak mampu menahan pilu sebaik sahaja menerima kunjungan Mumtaz.

Beliau terus memeluk Adun Demit itu sambil menangis hiba.
 
“Saya berharap anggota keluarga redha dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah untuk kita.
 
“Yang penting mendoakan kesejahteraan roh arwah mangsa di alam barzakh, semoga Allah tempatkan allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang soleh,”ujarnya.
 
Huzaimy dan Mumtaz turut merakamkan ucapan takziah kepada suami allahyarham, Che Hassan Che Ibrahim.
 
Mumtaz mewakili kerajaan negeri menyampaikan sumbangan kepada Farah Waheeda.
 
Pada kejadian semalam, allhayarham maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terlanggar tiang elektrik.
 
Allahyarham bertindak nekad selepas seorang lelaki meragut begnya di Kampung Pak Elong, Tangok dekat sini.
 
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kantin Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok.   
 
Mangsa dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. – HARAKAHDAILY 17/2/2017

Share on Myspace