H355: Kecil Padang Merbok KL kami tadahkan

NASRUDIN HASSAN | .

Padang Merbok pada saiznya hanya menampung 45,000 - 50,000 peserta H355 pada satu masa. Gelombang kebangkitan ummah dan gelora ungu ini meyakinkan saya bahawa peserta akan melebihi jumlah 50,000.

Justeru itu, kecil Padang Merbok maka Kuala Lumpur kami tadahkan. Insya Allah, kawasan sekitar akan ditutup kepada lalu lintas seperti yang diumumkan oleh PDRM untuk memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dan juga peserta H355 menghadirinya dengan selesa.

PARKING BAS

Bas yang membawa penumpang dari seluruh pelosok negara disaran menurunkan dan mengambil penumpang di pinggir ibukota khasnya berhampiran stesen LRT dan masuk ke ibu kota dengan menggunakan LRT. Sementara semua bas tersebut diminta parking di pekarangan Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Majlis H355 akan berakhir jam 11.00 malam dan perkhidmatan LRT tamat pada jam 12.00 am. Pihak Sekretariat H355 telah buat permohonan agar perkhidmatan LRT dan Komuter dilanjutkan perkhidmatannya ke jam 1.00 am. Sehingga saat ini kami masih menanti keputusan pihak berwajib. Jika diluluskan, kami akan maklumkan kepada umum secepat mungkin.

Sementara kenderaan persendirian juga tidak dibenarkan parking berhampiran lokasi himpunan bagi mengelak kesesakan dan kesukaran mengalih kenderaan tersebut. Sebaiknya parking di stesen LRT dan kawasan berhampiran atau mana-mana kawasan pinggir ibukota yang sesuai.

ATASI KESULITAN

Saya harapkan para peserta H355 hadir dengan tenang, banyakkan zikir dan selawat  kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tidak melakukan sebarang provokasi dan tidak respons kepada sebarang provokasi yang dicetuskan oleh mana-mana pihak.

Sebarang kesulitan yang dialami boleh terus berhubung dengan mana-mana anggota Jabatan AMAL bertugas yang beruniform. Kami akan tempatkan sekira-kira 2,500 petugas AMAL pada satu masa dan 1500 pasukan SUKARELAWAN dengan uniform khas mereka sebagai SUKARELAWAN H355 atau terus berhubung dengan pihak urusetia di khemah mereka yang terletak di lot parking Padang Merbok.

GERAI PERNIAGAAN

Pihak penganjur memohon maaf berbanyak maaf kerana tidak boleh menyediakan gerai perniagaan di dalam kawasan lokasi yang digazetkan kerana ia disediakan untuk peserta H355 yang pasti ramai melebihi target yang dijangka.

Para peniaga bolehlah memilih sendiri kawasan yang sesuai di luar sedikit dari kawasan yang digazetkan sebagai lokasi H355 seperti kawasan berhampiran dengan Bank Negara atau Bulatan Bank Negara atau lainnya di atas tanggungjawab sendiri.

PENGHARGAAN

Pihak Sekretariat H355 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM dan DBKL atas kebenaran dan kerjasama yang diberikan kepada Sekretariat untuk menganjurkan H355 di Padang Merbok Kuala Lumpur.

Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera

Nasrudin Hassan
Pengarah Himpunan 355

Share on Myspace