23
Sun, Apr
13 Artikel Baru

WARGA Indonesia yang bekerja di luar negara turut bersolidariti bersama majoriti penduduk Jakarta, di atas kemenangan Anies Baswedan yang menewaskan lawannya, tokoh kontroversi, Ahok pada pusingan kedua Pemilihan Gabenor Jakarta, kelmarin.

Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama tewas sebagai penyandang jawatan Gabenor Jakarta dengan kiraan 42 peratus berbanding Anies 58 peratus.

Rata-rata yang ditemui menganggap kemenangan ini adalah kemenangan kepada Islam yang mereka lihat semakin ditekan oleh golongan liberal termasuk juga tokoh-tokoh agama yang cenderung menyokong Ahok.

Walaupun Ahok dianggap oleh mereka sebagai seorang yang bagus bekerja bagi pembangunan, namun mereka tetap menjulang tinggi Islam dan penghinaan Ahok terhadap al-Quran tempoh hari, tidak dapat mereka maafkan.

yayatYayat Ruhiyat, 43, yang tinggal di Qatar, ketika diminta mengulas kekalahan Ahok itu berkata, beliau sangat gembira dengan kejayaan Anies ini kerana Ahok baginya dilihat sebagai seorang yang kurang ajar terhadap Islam.

“Ini kemenangan untuk Islam kerana Ahok itu didukung (sokong) berbagai macam konglomerat Cina ataupun para pembawa saham atau pemodal yang besar, tetapi itu semua tiada apa-apanya kalau Allah bertindak.

"Di samping itu berusaha untuk meliberalkan Islam kerana dia kepinginnya Islam itu bukan Islam fundamental,” tegas beliau.

Bagi Yayat, Anies itu lebih disukai kerana tidak membuat janji-janji yang sembarangan dan semuanya itu masih boleh diterima oleh akal fikiran, di samping Anies turut disokong oleh Partai Keadilan Sosial (PKS).

muhdManakala bagi Muhammad Nurkholis, 37, pula berpendapat orang Islam yang menyokong Ahok adalah golongan liberal, iaitu mereka yang menggunakan akal tanpa berpandukan al-Quran.

“Mereka melihat bukan dengan neraca Islam, melihat dengan pandangan sendiri, materi (material) dan tidak dengan buku panduannya (al-Quran).

"Mereka berfikir bahawa si Ahok ini boleh mengatasi segala-galanya walaupun dengan cara yang kasar, mereka fikir asal itu berkebaikan, padahal dari kebaikan itu banyak timbul hal-hal keburukan dan otomatisnya mahu mendapatkan sesuatu,” jelas beliau.

Muhammad juga berkata, majoriti yang beliau kenali, menyokong Anies berbanding Ahok kerana khalayak yang mengenali beliau adalah dari kalangan orang yang berpelajaran yang mahukan Islam menang.

Secara jujur, beliau menyatakan bahawa pembangunan mungkin akan dapat dinikmati jika Ahok menang sebagai gabenor, tetapi beliau menyedari akan ‘ada udang di sebalik batu’ atas kemajuan dan pembangunan itu.

Yang paling dikhuatirkan ialah kemungkinan besar Islam akan lebih rosak jika Ahok menduduki tampuk kuasa itu berdasarkan apa yang telah Ahok lakukan sekarang ini.

Antaranya dakwa beliau, Ahok membina masjid, tetapi dengan diterapkan ciri-ciri kristian seperti lambang menyerupai salib dalam binaan itu yang kemudiannya disedari oleh orang Islam.

Beliau mengharapkan semoga dengan kemenangan ini akan menyedarkan orang Islam di seluruh Indonesia agar terus berjuang mempertahankan agama Islam ini daripada diperolok-olokkan oleh orang lain.

Pemilihan pusingan kedua ini diadakan setelah pada pusingan pertama Februari lalu, tiada calon yang menang melebihi 50 peratus undi daripada kira-kira 7.1 juta pengundi Jakarta. - HARAKAHDAILY 21/4/2017

SEKALI lagi politik Turki menjadi perhatian dunia. Tidak pelik ini kerana Turki adalah sebuah negara yang sangat penting dari sudut sejarah, geografi, sosial dan masa depan politik dunia Islam. Setelah kegagalan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada Ogos 2016 lepas, Presiden Reccep Tayyib Erdogan dan partinya AKP terus mengukuhkan kuasa.

Kali ini satu referendum telah diadakan bagi memberikan kuasa yang lebih luas kepada Erdogan sebagai presiden, mengubah sistem sedia ada kepada sistem presiden berkuasa eksekutif. Referendum yang diadakan semalam 16 April menyaksikan kumpulan yang menyokong agar perlembagaan diubah kepada sistem presidensi telah menang dengan majoriti yang tipis.
 
Kedudukan Turki yang sangat penting kepada dunia Islam menyebabkan ia diikat dari kiri dan kanan untuk menghalang kebangkitannya semula yang telah menyaksikan kegemilangannya di era Khilafah Uthmaniyyah.

Selepas jatuhnya Khilafah Islamiyyah dan terbentuknya negara Turki moden, ia diikat dengan sistem sekularisme di setiap sendi dalam sistem pemerintahannya. Sekularisme dijadikan sebagai aqidah negara, setiap yang bercanggah dengannya akan diperangi habis-habisan. Turki juga diikat dengan perjanjian-perjanjian ketenteraan khususnya dengan Nato selepas Perang Dunia Kedua.
 
Suruhanjaya Tertinggi Pilihan Raya Turki mengumumkan:
50 juta pengundi daripada 55.3 juta pengundi telah keluar untuk mengundi iaitu sebanyak 86 peratus daripada jumlah itu sebanyak 24.763 juta yang menyokong sementara 23.54 juta lagi membangkang. Ini bermakna kumpulan penyokong memperolehi sebanyak 1.3 juta undi majoriti. Pembuangan undi diadakan di 167 pusat mengundi di 81 wilayah. Referundum diadakan bertujuan untuk merubah 18 fasal dalam perlembagaan khususnya yang paling asas ialah mengubah sistem pemerintahan daripada sistem parlimen kepada sistem presiden.

Perubahan ini akan memberikan kuasa yang lebih besar kepada presiden untuk mengurus pemerintahannya, mengubah sistem daripada presiden yang lebih bersifat seremonial kepada presiden yang berkuasa lebih luas dalam pentadbiran negara.
 
Parti Saadat yang merupakan parti Islam utama di Turki melalui kenyataan presidennya Temir Karimullahuglo menyebut Saadat mengambil sikap tidak bersetuju kerana melihat kepada keburukannya lebih banyak akan tetapi ia tidak berkempen kepada rakyat untuk tidak mengundi.

Sikap ini lebih cenderung kepada berkecuali kerana sukar untuk mengimbangkan antara kebaikan dan keburukan. Kebaikannya kerana ia akan menyekat kuasa tentera dan kemudaratannya untuk jangka masa panjang khususnya pada era selepas Erdogan.

Siapakah yang akan memimpin Turki? Kerana bidang kuasa yang diberikan kepada presiden sangat luas, dan Erdogan berpotensi untuk memerintah sebagai presiden eksekutif - selepas pelaksaan sistem ini - sehingga 2029 nanti. Dalam masa yang sama ia menghadkan ruang-ruang demokrasi suara rakyat. Walaupun begitu ia tidak berkempen dan memberikan kebebasan kepada rakyat Turki untuk memilih.

Mengikut sumber yang rapat dalam Parti Saadat, sikap yang diambil olehnya ini memberikan kelebihan kepada kumpulan penyokong. Ini kerana jika Saadat mengambil sikap untuk tidak menyokong nescaya sudah tentu referendum ini akan gagal. Sikit sebanyak sikap Parti Saadat ini mengimbangi pendirian yang pernah diambil oleh al-Marhum Prof Nejmuddin Erbakan, tokoh yang merupakan guru kepada Erdogan yang menyarankan supaya Turki merubah sistemnya pada ketika itu kepada sistem presiden. Tujuannya ialah supaya untuk membuang kuasa mutlak tentera. Fakta ini menjadi bahan kempen oleh pihak AKP dengan slogan: “Jika sekiranya Erbakan hidup nescaya dia juga akan menyokong referendum ini”.
 
Dunia Barat tidak bersembunyi dengan bangkangan mereka terhadap referendum ini. Ia terbukti apabila beberapa buah negara Eropah bertindak menghalang wakil-wakil AKP termasuk menteri luarnya untuk berkempen kepada rakyat Turki bagi menyokongnya. Barat juga secara konsensus melihat perubahan sistem ini sebagai semestinya bertentangan dengan nilai demokrasi.

Barat bimbang dengan kuasa yang berpusat pada presiden Turki pada masa yang mencabar dalam politik dunia hari ini, di mana peranan Turki sebagai sekutu diperlukan oleh Barat. Dunia Islam sedang memerhatikan perubahan yang sedang berlaku di Turki.

Adakah Erdogan akan menggunakan kuasanya untuk mengembalikan kembali sistem politik Islam? Bagaimanakan Erdogan akan menangani hubungan dengan Eropah dan Amerika Syarikat yang sering bertindak membelakangi kepentingan Turki kebelakangan ini? Bagaimanakah hubungannya dengan Israel, yang baru lagi dipulihkan selepas terjejas pada penghujung 2010?

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM
20 Rejab 1438/17 April 2017 - HARAKAHDAILY 17/4/2017

MASA depan Eropah bergantung kepada warga Turki yang tinggal di sana, ujar Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam tunjuk perasaan awam yang diadakan Khamis lalu, lapor Anadolu Agency.

"Lima juta saudara-saudara kita yang telah menetap di sana akan membentuk masa depan Eropah," kata Erdogan dalam perarakan di wilayah Laut Hitam Giresun menjelang pungutan suara pindaan perlembagaan Ahad (esok).

Erdogan mengatakan bahawa dalam beberapa bulan terakhir, Eropah telah menunjukkan wajah mereka sebenarnya yang anti-Islam. Mereka tidak mempunyai toleransi terhadap umat Islam.

Beliau juga berkata selepas menyekat para menteri kerajaan Turki, beberapa negara Eropah telah membuka pintu mereka kepada ahli kumpulan keganasan yang sedang dilawan Turki.

Presiden Erdogan juga bercakap panjang lebar berkaitan keretakan antara Turki dan beberapa kerajaan Eropah selepas pihak berkuasa Jerman dan Belanda melarang unjuk rasa oleh menteri Turki yang menyokong sistem presidensial.
 
Sementara negara-negara Eropah melarang unjuk rasa menyokong kempen 'Yes', mereka malah membenarkan tokoh pembangkang Turki yang menyokong demonstrasi 'No' untuk pungutan suara tanpa halangan.

Referendum hari Ahad nanti di Turki akan menimbulkan reformasi perlembagaan yang akan menyerahkan kuasa eksekutif kepada presiden.

Jabatan Perdana Menteri akan dihapuskan dan presiden juga akan dibenarkan untuk mempertahankan hubungan dengan parti politik.

Perubahan lain termasuk usia minimum calon dikurangkan menjadi 18 tahun. [Islampos]

SEMPENA hari peringatan tragedi pembunuhan warga Deir Yassin pada 9 April 1948  dan Hari Tanah Air Palestin pada 30 Mac 1979  ("Youm Al Ardh" - Land Day), kami mendesak PBB mengambil tindakan muktamad untuk mengheret Israel ke Mahkamah Antarabangsa kerana jenayah ke atas kemanusiaan.

Penerbitan Laporan terbaru berjudul "Amalan Israel Terhadap Warga Palestin dan Persoalan Dasar Aparteid" (Israeli Practices Towards the Palestinian People and the Question of Apartheid) oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat (ESCWA) telah mengesahkan tanpa ragu lagi bahawa Israel telah melakukan jenayah aparteid.

Aparteid adalah jenayah kedua selepas genocide dalam urutan jenayah ke atas kemanusiaan.

Sejak negara Zionis diujudkan diatas ideologi Zionis rasis, operasi mengusir warga Palestin dari tanah air mereka untuk menubuhkan negara Israel berterusan sehingga hari ini. Pemusnahan etnik (ethnic cleansing) menjadi senjata Israel untuk mencapai objektif kriminal ini.

Pada 20 Disember 1940, Yosef Oweitz, Pengarah Tanah dan Tabung Nasional Yahudi menulis:

"dalam kalangan kita, perlu jelas, bahawa tidak ada ruang hidup bersama antara Yahudi dan Arab.... apabila kaum Arab dapat dikeluarkan, tanah ini akan terbuka untuk kita.... tidak ada ruang kompromi.... membeli tanah tidak akan berjaya mengujudkan sebuah negara.... hanya satu cara sahaja iaitu memindahkan orang Arab ke negara jiran... jangan ada seorang suku kaum dan penduduk Arab yang terbaki... hanya dengan itu sahaja berjuta Yahudi dapat dimasukkan ke bumi Palestin.... tidak ada cara lain"

Pada 15 Mei 2017 adalah hari peringatan ke-61 tahun peristiwa Nakbah (Hari Malapetaka), apabila pada hari itu, tahun 1948,  Yahudi mengisytiharkan tertubuhnya negara Israel. Pada hari itu Yahudi Zionis melancarkan serangan ke atas bandar dan kampung, membunuh, memperkosa dan memaksa warga Palestin melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Sebelum itu, pada 9 April 1948, peristiwa Deir Yassin tercetus. Seramai 264 lelaki, wanita dan kanak-kanak disembelih oleh tentera Zionis.

Antara 1947 dan 1948, lebih 750,000 warga Palestin menjadi pelarian. Kini pelarian Palestin mencecah lebih 4 juta orang. Mereka dalam keadaan sengsara di kem-kem pelarian; tiada makanan, tiada air bersih, tiada perubatan dan tiada tempat tinggal. Mereka dinafikan hak untuk pulang walaupun hak itu disahkan oleh Persidangan Umum PBB yang menghasilkan Resolusi 194. Sementara itu pula, ratusan ribu Yahudi dari luar dibawa masuk ke bumi Palestin.

Sekitar 50 tahun yang lalu, pada 6 Jun 1967, Israel berperang dengan negara negara Arab dan berjaya menguasai Tebing Barat, Gaza dan Jurusalem Timur. Seramai 320,000 warga Palestine diusir dari bumi Palestin dan 300,000 Yahudi ditempatkan dalam kawasan Palestin.

Jurusalem Timur sebagai ibu negara Palestin, sedikit demi sedikit diambilalih oleh penduduk Yahudi. Pemindahan Yahudi, pembinaan dinding pemisah, pemusnahan rumah warga Palestin, menutup dan menyekat sebarang kewujudan Institusi Palestin, mengenakan diskriminasi yang menyekat sebarang pembangunan kota. Semua ini adalah agenda besar Zionis untuk meyahudikan seluruh Jurusalem Timur.

Lebih parah lagi ialah warga Palestin disekat daripada memasukki Masjid al Aqsa. Walhal masjid itu sedang diancam oleh projek Yahudi yang mengorek terowong dengan objektif meruntuhkannya bagi membina kuil Sulaiman. Jika agenda ini berjaya ia akan memberi kesan sangat berat kepada 1.5 bilion Muslimin seluruh dunia.

Sementara itu Gaza sedang dikenakan sekatan kejam oleh Israel, sejak lebih 10 tahun. Penduduk Gaza sengsara akibat sekatan ini, tanpa apa-apa usaha antarabangsa untuk menamatkan kezaliman Israel.

Inilah hiprokrasi Amerika dan Kesatuan Eropah. Sebarang usul dari Majlis Keselamatan PBB akan dihalang atau diveto oleh kuasa besar bagi melindungi Israel. Manakala pemimpin- pemimpin Arab pula bersekongkol dan menjadi boneka kepada kuasa Barat. Menamatkan dasar aparteid Israel ke atas Warga Palestin tergantung kepada keupayaan rakyat Palestin berdepan dengan diktator Arab.

Pada tahun 2005, gerakan sivil Palestin melancarkan kempen BDS iaitu Boycott, Diversement and Sanction. Ia adalah gerakan yang berkesan yang melibatkan pelbagai pihak dan warga Palestin. Kesannya telah menjejaskan Israel dan suatu undang-undang anti BDS untuk mengharamkan BDS cuba diujudkan oleh regim Israel.

Dengan itu kami menuntut agar seluruh warga dunia dan rakyat bangkit menyatakan sikap dan berdiri bersama dalam solidariti menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Kami mengesa:

1.Agensi agensi PBB, kerajaan negara-negara dan masyarakat sivil termasuk organisasi agama memperakui secara formal segala penemuan dalam laporan Aparteid Israel ini, bahawa apa yang dilakukan oleh Israel ke atas warga Palestin selama ini adalah jenayah aparteid.

2. Semua faktor yang disenaraikan diatas mengambil langkah yang perlu, sesuai dengan obligasi legal seperti yang diperuntukan dalam Konvensyen Aparteid. Jenayah Aparteid adalah termasuk dilarang dalam undang-undang customary antarabangsa. Oleh itu semua negara walaupun tidak menandatangan Konvensyen tersebut boleh mengambil langkah undang-undang terhadap Israel.

3. Kerajaan Malaysia perlu mengistiharkan sokongan dan perakuan khas terhadap laporan ESCWA ini dan mengesyorkan supaya semua negara anggota OIC melakukan tindakan yang sama.

4. Kerajaan Malaysia mengecam dasar aparteid Israel dan mengambil inisiatif untuk menjadikan ia suatu usul khas di Parlimen bagi melahirkan pernyataan yang jelas ke atas dasar aparteid Israel.

5. Menyeru seluruh masyarakat sivil di Malaysia bersatu melancarkan kempen BDS terhadap Israel secara berterusan. – HARAKAHDAILY 13/4/2017

SEBANYAK 200 bandar di Palestin dan desa-desa di Kawasan C Tebing Barat dikhabarkan sedang menderita kekurangan air yang serius. Menurut laporan akhbar Maariv semalam, warga sukar mendapatkan air akibat terpencil dari rangkaian air Israel.

Menurut laporan, krisis air di daerah-daerah Palestin bertepatan dengan mengecut sumber daya air di wilayah Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Ini menonjolkan krisis air di Gaza akibat jaringan sumber daya air yang runtuh. Semua disebabkan tahap kemasinan yang meningkat di syarikat perlindungan air yang rosak, imbasnya air dari laut Mediterranean ikut meresap.

Akhbar Haaretz menggambarkan masalah air di Gaza sebagai salah satu faktor yang akan menyebabkan situasi yang rapuh di daerah yang disekat akan "meletup".
 
Perjanjian Oslo yang telah ditandatangani antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), telah memberikan kuasa kepada Israel atas sumber air di Tebing Barat dan dibahagikan dengan tidak sekata.
 
Berdasarkan perjanjian, Israel mendapat 80 peratus daripada air gunung Tebing Barat (salah satu daripada tiga sumber bawah tanah bersama oleh Israel dan Palestin), sedangkan sisanya untuk Palestin.

Perjanjian juga tidak menetapkan batasan pada jumlah air yang boleh diambil oleh Israel. Namun menghadkan Palestin, yang hanya 118 juta meter padu air dari telaga-telaga yang ada sebelum perjanjian. [Islampos]

KERAJAAN Turki kemungkinan akan mengkaji semula atau menangguhkan semua perjanjian migran dengan Kesatuan Eropah (EU), jika mereka tidak menerima respons positif berkaitan perjalanan bebas visa untuk Turki.

Dikutip dari VOA, Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu berkata dalam wawancara dengan agensi-agensi penyiaran A Haber, semalam perjanjian migran dan pembebasan visa merupakan satu pakej, dan kerana itu Turki berhak menilai kembali atau menangguhkannya jika salah satu unsur tidak dipenuhi.

Cavusoglu juga mengatakan Turki tidak mempunyai masalah dengan Rusia pada masa ini dan akan mengukuhkan kerja sama mengenai gencatan senjata dan penyelesaian politik di Syria, selepas serangan kimia yang dilakukan pasukan kerajaan Syria mengorbankan kira-kira 100 orang awam di wilayah Idlib.
 
Serangan di Idlib tersebut telah mendorong Amerika Syarikat untuk melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu Tomahawk dari kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat di Laut Tengah dengan sasaran pangkalan udara Syria. [Islampos]

PASRelief terus mengatur langkah menyuburkan kemanusiaan, lanjutan daripada misi-misi sebelumnya, menyalakan obor Islam di mana sahaja diperlukan. Menyelamatkan Muslim Rohingya kini teratas dalam senarai  misi kemanusiaan PASRelief, yang telahpun bermula sejak puluhan tahun lalu.

Misi kali ini rurut disertai oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh (Ketua DMPM), Syarifah Rasyidah Syed Idrus (Ketua DMP Titiwangsa), Shahril Rizal Saidon (Pemuda PAS Selangor)  dan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Naib Presiden MAPIM).

Kami tiba di Dhaka jam 11:00 malam waktu Bangladesh (jam 1:00 pagi waktu Malaysia). Polisi kerajaan Bangladesh yang tidak mengalu-alukan misi kemanusiaan kepada Muslim Rohingya menjadi asas bagi urusan mendapatkan visa dan menyusun taktik perjalanan sejak awal.

Mereka ada alasan mereka sendiri atas halangan ini. Kita perlu bersedia, sentiasa diekori dan dipantau pasukan intelligen mereka setiap masa. Ramai yang diarahkan pulang sebaik mendarat di Dhaka, ramai lagi yang gagal memperolehi visa untuk memasuki negara ini.

Sebaik tiba, kami menginap di Dhaka, diuruskan NGO tempatan (rakan MAPIM) dengan rangkaian tempatan mereka sendiri. BDT9,000 hanya untuk 2 bilik (lebih kurang RM496) hotel tanpa bintang, pagar utama hanya dibuka jika ada tetamu sampai - atas faktor keselamatan.

Pasukan polis sibuk ke sana ke mari, memeriksa semua bangunan dan pergerakan. Kata penyambut tetamu hotel apabila ditanyakan sebab begitu ramai polis di sana-sini: "Security matter. Dont worry sir,  our country is very-very safe". Saya senyum saja.

Pagi 4 April, kami ambil penerbangan ke Cox's Bazar, bandar pelancongan yang mendapat nama sempena nama Kepten Hiram Cox, pegawai tentera British yang berkhidmat dalam tentera British India. Dia meninggal pada 1798 sebelum sempat menyelesaikan tugasnya menghentikan pertelagahan berpanjangan antara penduduk Islam dan Buddha di Palongki itu (nama asal Cox's Bazar).

Penduduk Islam diberikan kawasan kampung, penganut buddha ditempatkan di kawasan bukit bukau di pedalaman. Sehingga 1948 (kemerdekaan Burma daripada Inggeris), pentadbiran British India meliputi seluruh India hingga ke Arakan (dimasukkan ke dalam wilayah Burma). Negara Bangladesh hanya wujud selepas pemisahan dengan Pakistan pada 1971.

Pelarian Rohingya bertebaran di seluruh pelusuk desa

Lokasi pertama kami selepas makan tengah hari di kediaman Ustaz Mohamed Aayaz ialah Kampung Gualiya Selatan meninjau kerja pembinaan telaga tiub sumbangan NGO Cakna Palestin untuk kegunaan 20 keluarga di situ. Terletak jauh ke dalam kampung dikelilingi sawah padi, ladang pinang dan sireh.

Terdapat beberapa buah khemah (rumah) pelarian Muslim Rohingya yang baru dibina di sini. Bahannya plastik hitam, buluh, ranting kayu dan tanah liat. Sekali pandang sudah cukup untuk menghidupkan kemanusiaan kita.

Kampung Pembagan di Ramu menjadi lokasi kedua. Kami agak lewat tiba ke lokasi, kerana jarak yang jauh,  namun mereka setia menanti.

Reaksi dan paparan wajah 50 orang penerima sumbangan pakej makanan itu menyerlahkan derita luka yang dalam, dibaluti kain, selendang dan burqa yang lusuh dan koyak.

Suara mereka perlahan, senyum yang tawar, mata mereka berkaca  memandang kami, senyap dan sunyi. Demikianlah mereka berterima kasih kepada kewajipan kita yang telah lama tertangguh. Maafkanlah kami wahai ibu ayah dan sanak saudara yang lama dijamah sengsara, kami terleka dibuai dunia kami sendiri.

Mereka semua baru dua bulan tiba dan menumpang di tanah penduduk kampung itu. Rasa bersalah segera menerpa kerana telah membuatkan mereka menanti begitu lama. Majlis sumbangan itu terpaksa dibuat di kawasan yang agak terpencil di atas kawasan berbukit, jauh daripada ramai lagi pelarian yang tidak terpilih sebagai penerima. Apakan daya, itu sahaja yang PASRelief mampu sediakan dalam misi kali ini di kampung itu. Nanti kami pasti kembali lagi.

Salah seorang penerima pada lewat petang itu ialah seorang hafiz al-Quran yang menceritakan pengalaman berjalan kaki selama tiga hari tiga malam dari Mangdaw di Arakan, merentasi bukit bukau dan sungai bersama keluarganya, akhirnya tiba di kampung itu. Beliau tidak lagi mampu menghadapi ancaman kematian dari kekejaman puak rakhine dan tentera kerajaan Myanmar. Rumah dan segala yang dimiliki di kampungnya hangus dibakar.

Insya-Allah, kami akan datang lagi, membawa secebis  kelegaan dari rakyat Malaysia. Kami sampai ke penginapan menjelang waktu Isyak.

Hari Kedua di Cox's Bazar

Pagi 5 April, kami menyusuri jalan-jalan kecil menuju perkampungan di pedalaman,  meninjau pembinaan telaga tiub kedua. Alhamdulillah, ia sudah memuntahkan air untuk kegunaan warganya, Muslim Rohingya.

Perjalanan diteruskan ke Madrasah Khalid Al-Walid, di Kurnia Palong, sebuah madrasah dan rumah anak yatim Rohingya. Ia diusahakan oleh Ustaz Mohamed Aayaz bersama jawatankuasa dari kalangan penduduk tempatan dan muhajirin Muslim Rohingya.

Madrasah Khalid al-WalidSelesai bertemu pelajar dan tenaga pengajar madrasah,  PASRelief menyampaikan bantuan makanan kepada 150 keluarga Muslim Rohingya yang tinggal di sekitar madrasah. 25 kilogram beras, 2 kilogram minyak masak, kacang dan bahan-bahan lain dibungkus dengan guni. Majlis terpaksa dicepatkan kerana dihidu oleh penduduk sekitar yang tidak terpilih sebagai penerima. Bimbang diserbu, kami pun beredar.  

Demikianlah realiti penyampaian bantuan makanan kepada pelarian Muslim Rohingya di mana-mana pun. Memilih penerima sentiasa membelah koyak hati penyusunnya.

Mereka semua sangat terdesak, semuanya setara, sama daif, sama-sama sedang menderita dan layak dibantu. Penghalang utama adalah bekalan yang sedikit berbanding keperluan sebenar. Harapan kami, teruskanlah menderma untuk menyantuni mereka pula.

Selain bekalan makanan, beberapa telaga tiub yang disumbangkan oleh PASRelief dan MAPIM sedang giat dibina di sekitar Kurnia Palong.

Perjalanan dilanjutkan lagi ke kampung yang tidak dapat dimasuki van, sebuah CNG (tut tut) digunakan untuk menyusuri jalan di batas sawah untuk melihat sebuah telaga tiub yang telah siap di sana.

Menuju Ke Teknaf,  pintu masuk muhajirin

Kerana waktu masih jauh menjelang malam,  kami memutuskan untuk ke Teknaf. Beberapa telaga tiub juga sedang dibina dalam kem pelarian Muslim Rohingya di sana.

Teknaf adalah lokasi paling hujung di 'tanjung' wilayah Bangladesh, lokasi utama kemasukan pelarian dari Arakan.

Hanya Sungai Naf memisahkan Bangladesh dengan Myanmar. Mangdaw adalah wilayah di Arakan, terletak di seberang sungai Naf. Sungai itu menjadi pelabuhan perikanan utama bagi Daerah Cox's Bazar. Terdapat bahagian daratan yang menyambung kedua-dua negara, di Teknaf dan Nila, di situlah pintu masuk pelarian dari Arakan.

Walaupun laluan itu dikawal sepanjang masa,  namun ada waktunya pengawal tidur dan alpa dengan helaian Taka,  lima atau enam keluarga akan menyeberang ke kem pelarian setiap hari.

Jumlah mereka yang terpaksa berhijrah semakin ramai. Sejak Oktober 2016, terdapat kemasukan lebih 70,000 pendatang dari Arakan ke Bangladesh yang dicatatkan, menjadikan jumlah mereka kepada 500,000 orang (setengah juta). Tidak menghairankan, dari Puthupalong ke Teknaf, kami terpaksa melepasi empat sekatan tentera dan polis Bangladesh.

Dari Puthupalong, melewati Balukhali di Ukhiya, di sebelah kanan sepanjang jalan, kelihatan ribuan khemah pelarian baru dibina berhimpit-himpit di lereng bukit dan tebing.  Bahannya sama, plastik hitam dan ranting-ranting buluh.  Penempatan pelarian yang berdaftar dan tidak berdaftar semakin bertambah setiap hari.

Pemandangan kami tersorot kepada 'tetamu tidak diundang' mengendong anak kecil dan menjinjing bungkusan di tangan. Dua tiga orang anak mengekori rapat di sisi dan di belakang, bergegas- gegas. Ia boleh dilihat sepanjang laluan. Tidak pasti ke mana arah tuju mereka itu. Berteduh dan bermalam di manakah mereka itu? Tiada siapa boleh menjawabnya. Semoga Allah menganugerahkan mereka kesabaran.

Terdapat juga kelompok-kelompok wanita tua, dengan bungkusan di sisi, bersimpuh di bawah pokok dan di dipinggir jalan, meninjau-ninjau arah untuk pergi. Ada yang terbaring di tanah, dibawah terik matahari. Makanan apa yang mereka jamah hari ini? Berapa lama sudah mereka terperosok dan berlapar di situ? Entahlah... Mereka itu Muslim Rohingya!

Selepas dua jam perjalanan, kami tidak dapat melepasi sekatan keempat (terakhir). Hanya 200 meter jaraknya dengan kem pelarian Teknaf. Tentera yang menyapa kami memaklumkan keadaan agak tegang di kem-kem pada waktu ini, dan kami dinasihatkan berpatah balik. Saya pula cemas terlupa passport.

Kami singgah menyaksikan Sungai Naf, pemisah dan laluan dagang dua negara.  Arakan nampak jelas di seberang sana.

Di sanalah kekejaman - genocide- pembunuhan, pemerkosaan, penyiksaan dan pembakaran ke atas Muslim Rohingya sedang bermaharajalela. Mereka diusir secara terancang, untuk membolot tanah dan wilayah.

Di seberang Sungai Naf ini, mereka tetap dijamah derita juga, bezanya adalah mereka bebas dari ancaman kematian yang menghambat, yang semakin dekat setiap saat, jika terus berada di kampung halaman sendiri. Hijrah mereka hanya untuk menyelamatkan nyawa, bukanlah untuk mencari kesenangan!

Zohor di Jadimura

Kehampaan tidak melepasi sekatan terakhir ke Teknaf terlerai di Kampung Jadimura. Sapaan saya kepada seorang jemaah tertua menjadi perbualan panjang. Semua jemaah zohor tengahari itu adalah pendatang dari Arakan.  

Warga emas berusia 83 tahun itu baru dua bulan tiba dari Arakan, menumpang di tanah penduduk tempatan.  Kampungnya di Arakan musnah sama sekali. Anak-anak kecil dicampak ke dalam api yang sedang marak, membaham rumah-rumah usang menjadi abu. Ibu-ibu diperkosa, dibunuh dan hangus bersama rumah yang dinyalakan.

Orang dewasa diikat, didera akhirnya tewas di hujung senjata tajam pengganas Rakhine. Warga emas seperti beliau melintasi sempadan berjalan kaki selama berhari-hari, menyelamatkan sisa umur di tanah seberang,  menumpang di tanah saudara seaqidah, sekadar apa yang ada.

Sewaktu meminta diri beredar, air mata membuak dari seorang warga emas berusia 78 tahun, benar-benar meruntun meluluhkan jiwa.

Setelah berbincang dengan imam dengan bantuan seorang penterjemah yang mampu berbahasa Melayu, kami menyerahkan USD500 (RM2,250 wang bekalan kecemasan kami) untuk mereka beli dan agihkan beras kepada 50 keluarga yang baru tiba di situ.

Jadimura nama kampung itu. Mereka semuanya adalah bapa-bapa kita, yang merenung wajah kita seperti anak-anak mereka yang baru pulang dari perantauan berpuluh tahun. Tiba-tiba ingin pergi semula. Dengan renungan itu, hati mana yang tega berpaling pergi begitu saja. Rezeki mereka rupanya datang dari Malaysia. Rasa lega di Jadimura mengubati rasa berdosa.

Bendang garam

Perjalanan pulang ke Cox's Bazar melintasi sawah-sawah (bendang) garam di kiri kanan jalan. Plastik-plastik hitam dihampar dipetak-petak sawah. Air masin dipam ke hamparan itu dan dijemur menjadi garam. Garam yang dikumpulkan berlori-lori banyaknya. Selain padi, pinang dan sireh dalam sektor tani, garam dan batu bata merah adalah industri mereka.

Rupa-rupanya, plastik hitam hamparan bendang garam itulah menjadi dinding dan atap khemah-khemah pelarian. Plastik-plastik yang telah koyak dijual di tepi jalan untuk dikitar semula menjadi 'istana' pelarian.

Kem Puthupalong menyimpan sejuta luka

Lokasi: Kem Puthupalong, Ukhiya Cox's Bazar.
Populasi: Lebih 80,000 orang
Jumlah keluarga: Lebih 16,000
Status tanah: Persendirian

Menyantuni anak-anak Rohinhya dalam surau yang dijadikan kelas belajar di Puthupalong
6 April 2017 adalah hari 'bertuah' bagi misi PASRelief. Kem-kem pelarian adalah kawasan larangan, sukar sekali menembusi pintu masuknya. Ia dikawal polis tanpa seragam, dipantau cawangan khas (SB) setiap masa. Alasan mereka ialah jika bantuan subur di situ, pandatang baru akan tumbuh membiak.

Alhamdulillah, kami berjaya masuk dan 'menikmati' sengsara penghuninya. Kem Puthupalong didiami lebih 80,000 pelarian di ladang mempelam dan sawah seluas-luas pandangan mata. Penghuninya kini mencecah lebih 16,000 keluarga sejak ia wujud. Sebelum wujud kem, mereka menumpang berselerak di kampung warga tempatan. Apabila krisis di Arakan memuncak,  Puthupong menjadi kem pelarian swasta.

Tanah ladang yang dilingkari laluan sepanjang 5 kilometer itu milik Encik Bakhtiar, warga tempatan yang bersimpati, merelakan ladangnya didiami pelarian. Di celah-celah pokok mempelam dibuat teres sebagai tapak khemah, berhimpit-himpit 16,000 keluarga tanpa sebarang kemudahan asas. Beliau sendiri yang mengendalikan kawasan berpenghuni padat serba kekurangan itu.  

Surau tempat solat dan kanak-kanak belajar terlalu sempit, padat sendat dibina dari sumbangan orang ramai. Sudah lama beliau berharap ia dapat diperbesarkan. Apabila ditanya berapa keperluan telaga tiub yang mencukupi sebagai sumber air minuman kepada warga kem. Spontan saja jawapannya, "Kami perlukan minimum 100 unit lagi telaga tiub".

Sebagai ganti kehilangan tanahnya, Bakhtiar mengenakan sewa tapak BDT200 (RM11) sebulan untuk sebuah kediaman, sebagai wang komitmen penghuni. Tidak ramai yang mampu membayarnya. Dia menanggung risiko 'kehilangan' tanah itu selama mereka tidak dapat pulang ke Arakan.

Dalam kepadatan itu yang semakin meningkat setiap hari itu, penghuni kem tidak dapat bekerja, ramai yang sedang sakit tanpa rawatan, ibu-ibu melahirkan bayi dalam khemah berlantai tanah.

Balu-balu bersama anak-anak kecil, anak-anak yatim yang menumpang keluarga lain, yang cacat, yang tercedera, warga tua - siang berpanas, malam bergelap - segelap pekat masa depan mereka. Makan minum hanya dari sumbangan pihak luar yang diuruskan oleh Bakhtiar. Berat mata memandang,  berat lagi bahu memikul.  

Pemilik hati tisu bisa lemas dalam air mata sendiri. Hanya yang melegakan mereka di kem ini adalah kebebasan daripada ancaman kehilangan nyawa di tangan pelampau rakhine dan tentera Myanmar. Derita selainnya adalah sama saja. Kemiskinan dan kelaparan seperti sudah tiada makna.  Wajah-wajah mereka hambar dan tawar, kering tandus daripada ceria dan gembira memendam sejuta luka.

PASRelief membina tiga telaga tiub dan bilik mandi wanita di sini selain menyampaikan 50 guni beras untuk 50 keluarga yang dipilih oleh Bakhtiar.  

Penghuni yang beratur di pintu masuk kem, menunggu di pintu setor IOM (International Organization For Migration), berdiri di sepanjang laluan bersama anak-anak, tepi di tepi jalan, mundar mandir tanpa tujuan-tidak mampu kami santuni.

Kami segera beredar sebaik selesai menyampaikan sumbangan, mengelak diserbu ribuan penghuni lain yang sedang kesempitan.

Hati yang luluh hanya mampu memanjatkan doa supaya gambaran ini sampai ke pintu hati para dermawan untuk menyumbang sebagai penawar derita mereka.

Kem Balukhali menanti kita bermurah hati

Penghuni: Lebih 22,000
Keluarga: 3,200 keluarga
Status tanah: Milik kerajaan

Kem Balukhali yang berbumbung plastik bekas garam

Kem Balukhali terletak beberapa kilometer sahaja daripada kem Puthupalong.  Semua penghuninya adalah muhajirin baru, memasuki Bangladesh selepas operasi genocide Myanmar pada Oktober 2016. Tidak ada sebarang kemudahan asas, hanya sebuah telaga tiub sedang dibina di lereng bukit. Bekalan air diambil dari telaga tiub lama di sebuah surau di kampung warga tempatan di hadapan kem.  

Sewaktu kami memasukinya,  terdapat agensi UNICEF sedang mengadakan klinik rawatan kepada ibu dan kanak-kanak di sebuah khemah. Sebuah khemah lagi seperti sedang membuat bancian.

Tiada surau atau khemah sebagai tempat belajar untuk kanak-kanak seperti di Puthupong.  Mereka berkeliaran sesama sendiri, mengangkut air, membantu keluarga membina khemah, berkubang dalam debu dan 'berkelahi'.

Rentapan tangan-tangan kecil untuk sebiji gula-gula.

Bekalan gula-gula dan buah yang kami beli semalam untuk menceriakan kanak-kanak diagihkan. Agihan gula-gula ini tiba-tiba bertukar menjadi pesta rebut merebut olak menolak, sambar menyambar, sehingga pijak memijak. Ia sangat mencemaskan! Anak-anak kita di rumah juga berebut,  tapi bukan seperti ini. Tidak pernah sampai ke tahap ini.

Saya berlari dan rebah di parit, mereka tetap mengejar dan menerkam. Saya memanjat tebing, supaya senang mengagihkan mereka di bawah,  mereka tetap memanjat mengekori, merentap kaki, tangan, pakaian, dan terus menyambar. Saya mendaki tebing yang lebih tinggi, mereka muncul pula di depan. Akhirnya tewas dengan serbuan itu, saya leparkan bungkusan gula-gula kepada seorang warga kem yang sedang berdiri di luar khemah bersama isterinya.  Dia pula diserbu.

'Ragutan di tangkai hati'

Ragutan gula-gula oleh tangan-tangan kecil yang keras dalam hela tangisan dan rengekan,  menusuk tepat kelubuk hati. Rentapan mereka bisa memutuskan tangkai nurani. Ia meremukkan jiwa, meruntun keinsanan. Tanpa segan silu, tanpa takut dan bimbang,  mereka menerkam.

Kanak-kanak yang lebih kecil dan rendah tenggelam lenyap dalam himpitan, tangan mereka terkapai-kapai ditepis tangan yang lebih tinggi. Belum sempat gula-gula di tangan kita sampai ke tangan kecil itu,  ia disambar hilang. Ia hanya sebiji gula-gula berperisa mangga.

Gambaran saya untuk pembaca: Senarionya lebih dahsyat daripada menyaksikan sekelompok ikan dalam takungan, melonjak melepasi permukaan air,  bernafas di daratan untuk merebut secebis roti.

Allahu Rabbi! Mungkin ini manisan pertama mereka dalam tempoh bertahun-tahun. Entahlah. Ragutan Balukhali akan diingati sampai mati.

Kem Balukhali menerima 100 pakej makanan untuk 100 keluarga daripada PASRelief. Dua buah telaga tiub PASRelief juga akan dibina di sini,  terlalu jauh daripada keperluan.

Kami mengidamkan sebuah bangunan sementara dibina untuk dijadikan tempat kanak-kanak belajar membaca, mengira dan mengaji al-Quran. Mereka jugak meminta surau untuk berjemaah di beberapa lokasi sekitar kem itu. Telaga tiub untuk sumber air minuman dan makanan adalah keperluan paling mendesak untuk terus hidup. Kami memohon diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk kembali lagi ke sini,  merungkai derita 22 ribu penghuni Kem Balukhali.

Kami beredar dari Cox's Bazar menuju ke Cittagong menjelang tengahari, menempuh tujuh jam perjalanan dengan van. Selamat tinggal lembah penuh luka, medan yang telahpun padat dengan manusia,  ditambah pula kebanjiran muhajirin Rohingya.

Suasananya menjadi kelat dan pekat, murung dan mendung seperti tiada lagi perasaan untuk mendorong tangis mahupun katawa. Berkat kesabaran dan ketabahan mereka yang datang dan yang menerima seadanya, semoga Allah SWT menganugerahkan mereka syurga. – HARAKAHDAILY 9/4/2017

Catatan Misi Kemanusiaan PASRelief Ke Bangladesh 3-8 April 2017oleh Muhammad Sanusi Md Nor.

Telaga tiub

Agihan di Kampung Pembagan

Serahan sumbangan di Kg Jadimura unutk 50 pakej makanan keluarga

Ketua DMPP menyantuni warga emas Rohingya yang buta dan tidak mampu berjalan.

More Articles ...