24
Mon, Jun
32 Artikel Baru

“Whoever loses Istanbul loses Turkey” - Recep Tayyip Erdogan

Kekalahan Istanbul

Pilihan raya semula kerajaan tempatan Istanbul yang berlangsung pada hari Ahad, 23 Jun menyaksikan calon pembangkang, Ekrem Imamoglu, mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang lebih tinggi.

Dalam pilihan raya tempatan 31 Mac yang lalu, Ekrem Imamoglu yang mewakili Parti Rakyat Republikan (CHP), telah memenangi pilihan raya tempatan Istanbul dengan memperolehi 48.8% undi berbanding Binali Yildrim yang mewakili Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Parti) yang mendapat 48.6% undi.

Pilihan raya semula 23 Jun terpaksa diadakan setelah Lembaga Tertinggi Pilihanraya Turki membatalkan keputusan pilihan raya 31 Mac di atas dakwaan berlaku penipuan dalam proses pengundian.

Namun setelah proses pengiraan tidak rasmi selesai, Imamoglu mengisytiharkan kemenangan dengan memperolehi 54% undi berbanding 45% undi yang diperolehi Yildrim dengan majoriti yang lebih besar iaitu 9%, berbanding majoriti tipis 0.2% yang diperolehinya dalam pilihan raya Mac yang lalu.

Kemenangan CHP, parti tertua di Turki yang berideologi Kamalisme, di kerusi majlis perbandaran Istanbul pastinya memberi tamparan besar kepada Presiden Erdogan dan AK Parti yang dipimpinnya.

Pengajaran Istanbul

Pilihan raya tempatan Istanbul mempunyai signifikan yang tersendiri dalam konteks penguasaan politik Presiden Erdogan dan AK Parti di Turki.

Malah kedudukan Turki yang terletak di tengah persaingan kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Rusia, serta negara sekutu seperti Arab Saudi dan Iran menyaksikan Turki mempunyai kepentingan strategik dalam mengimbangi kestabilan geo-politik dan ekonomi dunia.

Selain itu kedudukan Turki sebagai sebuah negara umat Islam yang mempunyai sejarah dan sosio-budaya yang gemilang, kini berdepan dengan pertembungan identiti di kalangan generasi muda yang lebih terbuka dengan pemikiran dan gaya hidup Barat.

Justeru penolakan majoriti rakyat terhadap parti politik Islam seperti AK Parti dan Saadet di bandar-bandar besar seperti Istanbul dan Ankara mewajibkan kumpulan Islam di Turki bermuhasabah dan memperbaiki keadaan sebelum terlambat.

Selain meningkatkan kedudukan ekonomi dan peluang pekerjaan di Turki yang berdepan dengan tekanan daripada Amerika Syarikat dan Eropah, Presiden Erdogan perlu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keadilan, ketelusan dan integriti di pihak kerajaan yang dikritik hebat oleh pembangkang dan media pro-Barat.

Terlebih penting adalah perpaduan di kalangan kumpulan Islam dan penghayatan Islam yang sebenar di kalangan umatnya bagi memastikan Islam terus memimpin Turki. Ini kerana sebarang perpecahan hanya akan membuka ruang kepada kemenangan kumpulan sekular dan campurtangan asing dalam negara.

Inilah mesej ‘Islam Memimpin’ yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kepada kumpulan Islam di Turki untuk mengukuhkan kerjasama bagi memelihara kekuatan dan perpaduan ummah, seterusnya menghalang musuh daripada mengambil kesempatan di sebalik perpecahan sesama sendiri. – HARAKAHDAILY 24/6/2019

PILIHAN Raya semula Majlis Perbandaran Istanbul yang bakal berlaku pada 23 Jun ini menjadikan suhu politik Turki semakin panas sepanas musim panas yang di alami Turki sekarang ini.  
 
Parti AK (AKP) menang majoriti undi di seluruh negara dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran 31 Mac lalu, namun pengundi jelas menghukum parti pemerintah itu di beberapa bandar utama.
 
Satu perkara yang agak mengejutkan apabila parti Presiden Erdogan, Parti AK tewas dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran bagi Istanbul, Ankara dan Izmir
 
Perkembangan ini menarik perhatian tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut prihatin dengan perkembangan yang berlaku. Beliau berkunjung ke Turki bagi menyaksikan perkembangan dan mengemukakan pandangan beliau kepada pihak-pihak berkenaan. 
 
Berikut adalah keputusan Pilihan Raya Majlis Perbandaran di 3 bandar utama Turki yang dilaporkan agensi berita Anadolu:
 
• Istanbul - 48.8 peratus CHP, 48.5 peratus AKP
• Ankara - 50.9 peratus CHP, 47 peratus AKP
• Izmir - 58 peratus CHP, 38.6 peratus AKP
 
Bagi Kota Istanbul persaingan hebat berlaku antara Binali Yildirim dan Ekrem Imam Oglu. Binali Yildirim yang merupakan mantan Perdana Menteri Turki mewakili AKP, iaitu parti penyandang Presiden Turki sekarang. Manakala Ekrem Imamoglu dari parti CHP, iaitu Parti sekular yang memperjuangkan pemikiran Ataturk juga parti yang disokong oleh pengikut Gulen yang disyaki menjadi dalang kepada rampasan kuasa yang lalu.
 
Keputusan yang agak menggemparkan berlaku dalam pilihan raya tersebut apabila calon Datuk Bandar parti pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP), Ekrem Imamoglu mendahului bekas Perdana Menteri, Binali Yildrim daripada parti AKP dengan kira-kira 25,000 undi.
 
Atas bantahan yang di kemukakan AKP pilihan raya semula terpaksa diadakan pada 23 Jun ini. Suasana kempen semakin panas, rakyat dilihat tidak sabar melihat keputusan pilihan raya semula ini sambil khuatir dengan apakah yang bakal berlaku selepas keputusan diumumkan nanti. 
 
Pilihan Raya Majlis Perbandaran Istanbul amat penting kerana bakal mencorakkan lakaran politik berikutnya di mana menjadi kebiasaan bahawa pemimpin yang memenangi Pilihan Raya Majlis Perbandaran Istanbul bakal menaiki takhta Presiden Turki melalui Pilihan Raya Presiden Turki yang bakal berlaku nanti.
 
Sokongan terhadap AKP dan juga Erdogan berkurangan atas beberapa punca, antara yang utama ialah:
 
1.    Politik nepotisme yang diamalkan Erdogan. Hal ini amat ketara dan jelas tatkala Erdogan melantik menantunya Berat Albayrak yang baru berusia 41 tahun menjadi Menteri Kewangan dalam kabinet beliau.
 
2.    Penggubalan perlembangan yang mengubah bentuk pemerintahan Turki dan memberikan kuasa yang lebih kepada Presiden Erdogan sangat tidak disenangi sesetengah pihak. 
 
3.    Erdogan juga dikatakan kurang serius melaksanakan Islam, yang menimbulkan kemarahan kalangan rakyat yang mengambil berat agama.
 
4.    Negara itu bergelut dengan krisis ekonomi, pengangguran dan kadar inflasi dua angka. Walaupun Erdogan dikagumi keberanian beliau mengemudi aspek ekonomi, tetapi beberapa hari sebelum pengundian, mata wang Lira Turki menjunam lagi, sekali gus membawa igauan buruk ketika krisis mata wang tahun lalu yang menjejaskan sebahagian besar isi rumah negara.
 
Keadaan lebih merunsingkan apabila rakan-rakan seperjuangan dan sahabat karib Erdogan tidak lagi bersama beliau iaitu Abdullah Gul mantan Presiden Turki, Davud Oglu mantan Perdana Menteri Turki dan lain-lainnya yang juga mempunyai penyokong yang ramai. Mereka ini dijangkakan bakal menubuh parti baru yang menjadi pesaing Erdogan.
 
Ramai yang menjangkakan Ekrem Imamoglu dari parti CHP bakal memenangi pilihan raya semua Perbandaran Istanbul. Jika melihat awlawiyyat seharusnya rakyat Turki terus kekal bersama Erdogan dan AK Parti memandangkan Parti Rakyat Republikan (CHP) yang menjadi pesaing AKP lebih bahaya dan lebih bermudharat.
 
Moga rakyat Turki membuat pemilihan yang terbaik dalam pilihan raya semula 23 Jun ini, mengambil kira keuntungan jangka panjang bagi Islam dan umatnya, melihat kepada awlawiyyat serta ma’alat.
 
MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Setiausaha 
Lajnah Antarabangsa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 17/6/2019
IMG 20190617 WA0016

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil perhatian serius terhadap insiden yang menggemparkan dunia semalam dengan siri pengeboman dan serangan ganas di beberapa lokasi di Sri Lanka. Serangan yang melanda beberapa gereja dan hotel itu telah mengorbankan lebih 200 nyawa dan mencederakan sekitar 400 mangsa, menjadikan ia serangan terburuk sejak 10 tahun yang lalu. 
 
DPPM mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengeboman yang dilakukan. DPPM melihat ia sebagai usaha terancang untuk menggugat keselamatan di sana dengan mewujudkan ketakutan di kalangan masyarakat. Selaku sebuah negara yang mempunyai penganut pelbagai agama, serangan tersebut seoah-olah cuba untuk mencetuskan pertembungan antara mereka. Serangan yang menyasarkan beberapa gereja, di samping hotel yang melibatkan orang awam adalah sangat kejam dan cukup untuk menggambarkan agenda jahat mereka yang melakukan serangan.
 
DPPM merakamkan takziah kepada rakyat Sri Lanka, khususnya kepada keluarga dan sahabat handai mereka yang terkorban dalam tragedi serangan ini. DPPM mengajak seluruh pencinta keamanan di seluruh dunia untuk mendoakan yang terbaik buat mereka dan dikurniakan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi detik-detik yang sukar ini.
 
DPPM turut menyatakan sokongan penuh kepada Majlis Muslim Sri Lanka (The Muslim Council of Sri Lanka) yang mendesak pemimpin tertinggi Sri Lanka untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang bertanggungjawab dalam serangan tersebut.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 22/4/2019

PENGHAYATAN agama dan keharmonian hidup perlulah selari agar kita tidak tersilap dalam membuat keputusan. Parahnya ialah apabila kita salah pertimbangan, tetapi merasa sentiasa betul, sekali gus meletakkan diri dalam bahaya. Dewasa ini, salah tafsir mengenai Hak Asasi Manusia menjadi satu barah serius yang menggugat keinsanan. Saban hari semakin meningkat tampilan individu dan pihak yang begitu berani menyerlahkan kesongsangan nilai hidup dan agama.
 
Antara tuntutan mereka ialah seorang manusia itu perlu diberi kebebasan untuk melempiaskan nafsu keinginannya hatta menggunakan pelbagai cara songsang sekalipun. Antara aktivis selalu menimbulkan kontroversi murahan ialah Numan Afifi yang juga mengaku mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka bersungguh memperjuangkan identiti jantina dan orientasi seks songsang hingga ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.
 
Sedihnya, beliau berdiri dengan nama Numan Afifi yang merupakan nama yang baik bagi seorang Islam. Menurut Numan dalam kenyataan di akaun facebook miliknya mengaku pihak polis telah pun memanggilnya hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukti Aman pada 26 April 2019 bagi memberi keterangan berhubung ucapan tersebut. Namun begitu, beliau  menegaskan berpendirian kukuh untuk tetap terus memperjuangkan hak songsang LGBT itu walaupun mendapat tentangan-tentangan pihak tertentu. Seolah-olahnya tanpa rasa malu dan bersalah.
 
Hal seperti ini dilihat sangat membimbangkan di mana Numan dalam ucapannya ada menegaskan bahawa beliau tidak takut dan akan terus membela hak asasi manusia ini di Malaysia. Lantang suaranya turut menyerukan rakyat Malaysia untuk bersama memperjuangkan solidariti ini dan seterusnya mengecam pihak yang menghalang perjuangan hak asasi manusia mereka canangkan. Kuat sekali 'pegangannya' seakan  berlandaskan dalil dan nas disebalik hakikat nyata bahawa semua  itu menurut segala kemahuan nafsu dan ajakan syaitan yang sentiasa dilaknat Allah S.W.T?
 
Perilakunya ini jelas membuktikan bahawa beliau sedang cuba dan akan terus cuba menyemarakkan api keagamaan. Maka di sini satu persoalan mulai timbul, siapakah yang berdiri dibelakang beliau sehingga berani mencabar, mengecam rakyat dan menyatakan kesungguhannya melestarikan fahaman songsang ini? Soalan ini mungkin terjawab melalui beberapa kenyataannya yang dipersetujui oleh seorang individu dari pihak Kerajaan PH iaitu Menteri Luar, Dato' Saifuddin Abdullah di PBB bahawa isu LGBT ini bukanlah suatu benda yang dianggap terlarang. 
 
Mereka beranggapan, berfikiran terbuka itu perlu menjadi kebiasaan rakyat Malaysia. Penulis bersetuju untuk berfikiran terbuka, tetapi keterbukaan itu bukanlah sampai hilang akal dan terjatuh otaknya untuk berfikir kerana terlalu besar bukaannya. Malah, ramai dari mereka juga dominan bersikap kurang ajar, buruk akhlak dan hidup seperti tidak bertamadun!
 
Maka persoalan ini timbul, adakah ini yang benar dinamakan sebagai Hak Asasi Manusia? Adakah LGBT ini hak asasi? Adakah perkara LGBT yang berjaya membunuh manusia dengan HIV ini yang dikatakan sebagai hak asasi yang perlu kita benar dan lunaskan? Tidak! Bahkan ia satu perjuangan bodoh yang tidak selari dengan kehendak mana-mana agama pun. Ia jelas bertentangan dengan konsep agama itu sendiri iaitu membawa keharmonian. Di sini penulis ingin bertanya kepada semua pembaca, apabila kita disahkan menghidap sakit HIV dan mempunyai keturunan yang kacau bilau, di mana harmoninya hidup kita? Nauzubillahi Min Zaalik!
 
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati solat fardhu lima waktu sehari semalam yang termaktub sebagai rukun Islam kedua yang merupakan tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat bermakna ia menegakkan tiang agama, sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meruntuhkannya. Agama Islam telah menetapkan beberapa kelebihan bagi mereka yang patuh mengerjakan solat dan tidak ketinggalan juga dijelaskan beberapa jenis azab jika meringankan solat sama ada di dunia atau akhirat. Antara azab untuk mereka yang meninggalkan solat ini didunia ialah akan hidup dalam kemungkaran. 
 
Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T, maksudnya: 
“Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
(al-Ankabut: 45)
 
Maka melalui ayat ini, kita faham bahawa barang siapa yang meninggalkan solat, maka kehidupannya bergelumang dengan perbuatan keji dan mungkar seperti hubungan sejenis, hiburan melampau dan lain-lain perkara yang penulis berasa sangat hina untuk disebut bahkan dibincangkan. - HARAKAHDAILY 17/4/2019

KUALA LUMPUR: Delegasi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) bersama Ahli Parlimen Malaysia telah berangkat ke Mesir dalam usaha untuk memasuki Palestin bagi menyampaikan bantuan.
 
Misi Kemanusiaan Gaza yang membawa sumbangan berjumlah RM250,000 itu telah berlepas dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi.
 
Menurut Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, berikutan keganasan terbaru, kawalan kini semakin ketat dan pintu sempadan Rafah hanya dibuka pada 5 Mei depan untuk membolehkan masuk ke Gaza.
 
Namun maklumnya, PASRelief tetap berusaha supaya bantuan dibawa dapat disampaikan terus ke Gaza dengan bantuan Kedutaan Malaysia dan NGO Palestinian Cultural Organization Malaysia di Kaherah.
 
Turut serta pada misi kali ini adalah anggota dari NGO Yayasan Isra' Malaysia yang dimaklumkan membawa sumbangan kepada penduduk di sana sempena menjelang Ramadan bernilai lebih RM50,000.
 
Sementara itu, PASRelief berterusan menerima sumbangan saat akhir sebelum keberangkatan misi daripada pelbagai pihak antaranya Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Terdahulu, PASRelief telah menerima kunjungan ulamak Nepal, Ustaz Md Hasan Habibullah dan menyerahkan sumbangan RM10,000 (RP250,000) bagi tujuan kerja-kerja kebajikan umat Islam di negara itu.
 
Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi 013-384 5555 (Mohd Adram Musa). - HARAKAHDAILY 1/5/2019
IMG 20190501 WA0011
 
20190501 074740
 
20190501 074300

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyarankan agar seluruh penguasa dan masyarakat bersama memainkan peranan untuk menjaga alam sekitar.
 
Dalam Islam, alam sekitar yang dicipta oleh Allah adalah antara bukti kekuasaan Tuhan dan semua yang dijadikan mempunyai fungsi yang berkaitan dengan keseimbangan alam ini.
 
Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan oksigen digunakan untuk kehidupan manusia. Dan begitulah juga flora dan fauna keseluruhannya mempunyai kepentingan tertentu untuk keseimbangan alam ini.
 
Oleh yang demikian, sempena Hari Bumi pada tahun ini, seluruh rakyat dan khususnya pihak berkuasa mesti menekankan kepada penjagaan alam sekitar.
 
Konsep pembangunan mapan yang pernah menjadi agenda dunia sejak tahun 1987 mestilah menjadi dasar dalam setiap perancangan yang dilakukan. Di samping itu ketegasan dan ketelusan dalam pengamalan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA) mestilah dilakukan secara adil dan saksama. Kita tidak mahu ada agenda perancangan dan pembangunan yang mengambil ringan perkara ini.
 
Dalam konteks negeri Sabah yang kaya dengan sumber alam dan kayu kayan ini, semuanya mesti digunakan secara terkawal dan diurus secara sistematik. Pihak berkuasa haruslah tegas terhadap sebarang pencerobohan di kawasan-kawasan hutan simpan dan juga sebarang kawasan yang diwartakan untuk sesuatu kegunaan secara khusus.
 
Situasi sekarang kita melihat masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Kita jangan lupa akibat daripada perancangan yang tidak tegas dan sistematik boleh menyebabkan antaranya banjir kilat, banjir lumpur, tanah runtuh dan pelbagai masalah lain. 
 
Jangan kita lupa bahawa alam sekitar juga ada hak yang perlu dijaga oleh manusia.
 
MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
21 April 2019 - HARAKAHDAILY 21/4/2019

PADA hari ini, 9 April dalam tahun 1948, bumi Palestin dibasahi darah 254 penduduk Islam Dir Yasin, di mana 100 dari mereka adalah wanita. 
 
Kumpulan pengganas Yahudi Hajnah dan Irgun diketuai Menachem Begin memusnahkan dan meletupkan 15 bangunan kediaman dan melakukan pembunuhan paling dahsyat dekad itu.  
 
Penduduk kampung yang masih hidup diangkut dengan trak dan diarak di hadapan orang Yahudi untuk dilontar dengan batu. 
 
'Jasa' Menachem Begin membunuh umat Islam di Dir Yasin di balas pengikutnya dengan dinobat sebagai Perdana Menteri Israel pada 1977. 
 
Awal kurun ke-20, Yahudi hanyalah minoriti pendatang yang menumpang di pinggir tanah orang Islam. 
 
Namun sekitar 1915, penjajah British mula membawa masuk kaum Yahudi beramai-ramai ke Palestin. Perjanjian Balfour pada 2 November 1917 merancakkan lagi kemasukan kaum Yahudi dari Eropah dan Rusia.  
 
Perjanjian Balfour mengisytiharkan peri perlunya sebuah negara Yahudi didirikan di atas tanah Palestin.  
 
Untuk tujuan berkenaan pada 1920, Rusia menghantar Vladimir Jabotinsky ke Palestin untuk memberi latihan ketenteraan kepada kumpulan-kumpulan Yahudi.  
 
Yahudi yang asalnya hanyalah pendatang yang tinggal dipinggir tanah orang Islam semakin hari semakin kuat.  Orang Islam mula menunjukkan penentangan ke atas dasar British yang membawa masuk Yahudi ke Palestin.  
 
Umat Islam dari Syria dan Jordan di bawah pimpinan Syeikh Izzuddin Al Qassam masuk ke Palestin untuk berjihad menentang penjajahan British.  
 
Pada 20 November 1935, Syeikh Al Qassam dibunuh oleh tentera British dalam satu pertempuran.  
 
Dalam masa yang sama kedudukan Yahudi semakin mengukuh. Mereka semakin kurang ajar menceroboh perkampungan-perkampungan orang Islam. Melakukan pembunuhan demi pembunuhan. 
 
Pada 31 Mac 1948 kumpulan Yahudi Hajnah menyerang kampung Abu Kabir dan membunuh semua penduduk yang cuba melarikan diri.  
 
Sehinggalah kemuncaknya,  pada hari ini, 9 April dalam tahun 1948, penduduk Dir Yasin menjadi mangsa ratahan Manachem Begin dan pengganas-pengganas Yahudi di bawah pimpinannya.  
 
Tidak cukup dengan itu pada 14 Mei 1948, pengganas Yahudi membunuh 50 penduduk Islam di Kampung Abu Syasyah. Sebahagian mereka ditembak dengan senjata api dan yang lain pula ditetak kepala mereka dengan kapak.  
 
Pada hari itu juga British mengakhiri penjajahannya ke atas Palestin dan menyerahkan negara itu untuk dijajah pula oleh Yahudi.  
 
Serentak dengan itu,  nama Palestin dipadamkan dan diganti dengan Israel.  
 
Keesokan harinya, 15 Mei 1948, Presiden Amerika Syarikat segera mengiktiraf penubuhan negara Israel di atas bumi Palestin.  
 
إنا لله وإنا إليه راجعون
حسبنا الله ونعم الوكيل نعم المولى ونعم النصير
HARAKAHDAILY 9/4/2019

More Articles ...

Page 1 of 4