Umat Islam wajib elak umpan berita palsu

Dunia
Typography

PENGGUNA media berita yang amat rendah tahap celik media mudah untuk percaya dan menyebarkan berita-berita "clickbait," berita yang sangat jelas elemen gempar, emosi yang kuat, dan retorik yang mencetus sentimen para pembaca.

Elemen gempar, emosi dan retorik ini membina tulisan-tulisan yang kelihatan sangat menarik dan mesti dibaca, kerana hampir pasti, tajuk-tajuknya tidak akan diperolehi dari laman-laman berita lain.

Seperti dijelaskan istilah ini, clickbait ialah tajuk berita yang mengumpan pengguna internet supaya menklik tajuk berita yang menarik itu, bertujuan untuk menambahkan pengunjung laman web mereka, supaya manfaat lain dapat diperolehi hasil populariti laman, seperti iklan.

Dalam usaha menarik pengunjung laman web, pengendalinya mengenal pasti isu-isu yang menarik ramai pembaca, seperti tokoh-tokoh atau negara-negara tertentu yang sedang popular, serta juga retorik yang membangkitkan semangat, cerita-cerita kejayaan dan bencana yang menimpa musuh.

Berita-berita berbentuk sebeginilah yang biasa diulang-ulang dalam pelbagai bentuk, tanpa menceritakan lebih daripada apa yang menarik pembaca. Berita yang diterbitkan tidak menepati kriteria berita seperti yang sepatutnya.

Berita clickbait biasanya jauh berbeza berbanding tajuknya yang penuh shock value. Kejutan ini memberi janji bahawa artikel tersebut ialah sesuatu yang baharu yang tidak diketahui ramai, seperti pendedahan menggemparkan, atau paling biasa, memperbesarkan sesuatu, misalnya mengangkat secara berlebihan dan salah sikap, pendirian, kenyataan dan kemampuan sesebuah negara untuk berdepan negara musuh.

Tajuk berita clickbait menaburkan janji yang tidak dapat dipenuhi oleh berita yang diterbitkan itu, tetapi memberi elemen keseronokan dan memuaskan sentimen tertentu pembaca.

Tajuk-tajuk berita clickbait boleh dikenali biasanya dengan dakwaan berlebihan dan berita selalu kurang penjelasan dan perincian, pada masa sama, sumber-sumber rujukan juga kurang jelas atau palsu sama sekali.

Satu contoh yang biasa ditemukan ialah berita yang memperbesarkan retorik seorang pemimpin Islam, misalnya Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, sejak beliau menjawat jawatan perdana menteri lagi. Beliau digambarkan bersedia berperang dengan Israel, berdasarkan satu kenyataan mengkritik Israel dan memberi amaran. Beliau juga diberitakan bersedia bertindak secara ketenteraan terhadap kerajaan Myanmar dalam isu Rohingya.

Kenyataan beliau ini dikemukakan secara simplistik dan secara mutlak sebagai satu contoh kesediaan seorang pemimpin Islam berdepan dengan Israel, tanpa mengambil kira faktor seperti hubungan diplomatik yang baru dipulihkan, faktor kesediaan untuk berperang dan pelbagai pertimbangan lain.

Bentuk berita seperti ini mengukuhkan lagi mitos dan naratif yang dipegang oleh pembaca yang disasarkan. Inilah faktor yang menyebabkan pembaca memilih untuk klik pada tajuk berita tersebut.

Isu-isu yang lebih sukar dan tidak selari atau berlawanan, misalnya dengan naratif "pembela Islam" yang dikemukakan berita clickbait tentang pemimpin Islam itu diabaikan begitu sahaja, kerana hal itu tidak menarik dan mengganggu usaha membina populariti, iaitu tarikan pembaca terhadap laman tersebut.  

Laman-laman dipenuhi berita clickbait ini hampir pasti dipenuhi dengan pelbagai berita dan artikel sensasi, yang dapat dilihat secara keseluruhan bertujuan untuk menarik pembaca dan pengunjung laman web.

Berita seperti ini mengeksploit emosi, jangkaan, dan harapan pembaca. Dalam keadaan dunia Islam berdepan pelbagai bentuk masalah dalaman, krisis dan konflik sesama sendiri, berita-berita ini menyediakan satu bentuk escapism dengan mengeksploit sentimen pembaca terbabit.

Dalam keadaan krisis seluruh dunia Islam yang tidak berkesudahan dan rasa tidak terdaya yang berleluasa ini, berita-berita clickbait, sama ada yang memperbesarkan sesuatu perkara atau palsu semata-mata, menambahkan lagi krisis umat ini.

Hal ini telah berpanjangan, sekurang-kurangnya sejak perkambangan panas kebangkitan rakyat di dunia Arab, yang telah memburukkan keadaan dengan membina kepercayaan-kepercayaan karut, menyebarkan laporan-laporan palsu dan meningkatkan serta menyebarkan persengketaan antara mazhab dalam kalangan umat Islam.

Berita-berita ini hakikatnya ialah bahan-bahan yang mengkhayalkan, mengeksploit tanpa memberi pemahaman sebenar, malah keliahatan berusaha mengelak daripada menceritakan hal sebenar yang lebih kompleks.

Berita-berita seperti ini tidak menyumbang kepada pemahaman isu-isu penting, melainkan membawa kepada pemahaman menyeleweng dan kepercayaan palsu.

Menyedari ancaman penyebaran berita yang menyeleweng dan palsu ini, amat penting umat Islam meningkatkan celik media masing-masing, supaya dapat membuat pilihan yang bijak, tidak mudah tertipu, sama ada tertipu membaca atau lebih buruk lagi, membantu menyebarkan perkara yang sia-sia dan palsu.– HARAKAHDAILY 22/9/2017