22
Wed, May
31 Artikel Baru

Persatuan tidak wakili nelayan, abai masalah

Berita
Typography

BALIK PULAU: Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang didakwa tidak pernah turun mendengar suara akar umbi golongan nelayan, manakala persatuan nelayan yang ada pula tidak mewakili mereka, selain dikatakan mengaut kepentingan bagi segelintir mereka sahaja.

Nelayan Teluk Kumbar, Bakri Bakar berkata, ‘transformasi nelayan moden’ yang cuba digagaskan pemimpin persatuan nelayan tidak realistik dengan situasi sebenar dialami majoriti nelayan di pulau itu.

Jelasnya, selain faktor usia dan aset dimiliki, alternatif bantuan mahupun pampasan yang mahu diberi kepada para nelayan hakikatnya tidak setanding dengan kemusnahan alam sekitar dan hasil laut, sekali gus sumber rezeki mereka.  

Luahan sama turut dinyatakan wakil nelayan Teluk Bahang, Mohd Zabri Yusop yang mendakwa kebanyakan nelayan sama sekali tidak tahu mengenai sampan atau bot dengan enjin lebih baik serta pampasan yang ditawarkan.

Sehingga kini katanya, beliau dan rakan-rakan nelayan tidak pernah ditemui mana-mana pihak, sedangkan mereka yang mengaku mewakili nelayan pula dilihat berkepentingan dan boleh ‘diasuh’ oleh pihak berkaitan.

Beliau juga kesal kerana pihak kerajaan tidak pernah cuba merasai sengsara golongan tersebut yang merupakan penduduk jati pulau itu, selain mereka juga berdepan tuduhan menceroboh tanah kerajaan di persisir pantai didiami.

“Kena ingat, kerajaan tidak akan wujud tanpa rakyat. Bagus buat pembangunan, tetapi perlu juga lihat kesannya, terutama rakyat yang cari rezeki. Kami nelayan, cari makan sendiri, tak bergantung kepada kerajaan. Tak kacau kerajaan, tapi kerajaan yang kacau rakyat. Kerajaan hanya mau kuasa, bila ada kuasa lupa rakyat.

“Sepatutnya mai bincang, mau jumpa penduduk tengok terjejasnya mata pencarian kami. Nelayan tua macam kami nak pergi jauh (tengah laut) tak mampu. Jadi kena ada perundingan, kena ada timbang rasa. Jangan hanya tahu nak roboh. Kesan hakisan yang kami kena, siput duri sampai pukat kami rosak,” ujarnya mendakwa kerugian ribuan ringgit.

Bidasnya, kerajaan seolah-olah hanya mengutamakan orang luar termasuk pelancong, tetapi nelayan yang merupakan penduduk sendiri mahu dihapuskan, manakala kampung-kampung mereka juga hendak diambil atau dirobohkan.

Menurut beliau, kerajaan bersikap dan memberi layanan sedemikian serta tidak dipedulikan mereka kerana golongan nelayan dianggap tidak memberi atau membawa keuntungan kewangan kepada pihak kerajaan.

Anaknya, Mohd Faizal Mohd Zabri yang juga seorang nelayan berkata, permintaan pihak persatuan nelayan untuk diberikan sampan dan enjin kuasa besar sama sekali bukan penyelesaian kerana kos akan tetap meningkat.

Keadaan tersebut jelasnya, berbanding dengan hasil tangkapan akan menyebabkan nelayan belum tentu menjana keuntungan, manakala pampasan ditawarkan tidak lebih sekadar melepas batuk di tangga.

Bidasnya, pampasan tersebut hanya untuk mengelabui mata nelayan sedangkan dengannya tetap sukar nelayan membina kehidupan atau kemajuan masa depan, selain beberapa permintaan persatuan juga tidak relevan.

Dakwa beliau, persatuan cuba menutup mata dengan realiti dihadapi warga nelayan dan seolah-olah cuba memperbodohkan mereka, walhal projek itu akan menyebabkan nelayan menganggur, sedangkan dasar kerajaan mahu hapus pengangguran.

Hadir sama pada sidang media itu adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof dan Pengerusi Lajnah Tanah dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan Md Yusoff. - HARAKAHDAILY 16/3/2019

  IMG 20190316 WA0019

IMG 20190316 WA0020

IMG 20190316 WA0021

IMG 20190316 WA0022