MB ziarah penduduk dhaif dan terlantar

Berita
Typography

SEBANYAK 12 penduduk Dun Selising yang dhaif dan menghidapi penyakit kronik bertuah apabila mereka diziarahi Menteri Besar dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menziarahi penduduk terbabit di Bukit Abal, Banir Belikong, Selising, Padang Pak Omar, Bukit Bidang, Banggol Jenereh dan Alor Geliong.

Manakala anggota-anggota Exco kerajaan negeri pula menziarahi penduduk di Kampung Tasik, Tualang, Kedai Menanti, Bukit Tanah (Dana) dan Bukit Merbau.

Mohd Nor SaidSetiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Selising, Md Noor Said berkata program pemukiman Menteri Besar di Pasir Puteh hari ini memberi tumpuan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) Selising.

“Pihak MTD sebelum ini mengadakan perbincangan dan mesyuarat bagi mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan dan perhatian kerajaan negeri sempena program berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Sempena program itu Menteri Besar merasmikan Jeram Mengaji Resort, tempat rehlah milik Yayasan Tabung Tok Kenali.

Selain itu pertemuan pimpinan kerajaan negeri bersama penghulu dan kakitangan lantikan politik dari Dun Selising, Limbongan dan Gaal yang diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Pemukiman sehari itu akan berakhir dengan program majlis bina ummah dan cakna rakyat di Teratak Batu, Dun Gaal petang ini.

Sebelum ini program pemukiman Menteri Besar diadakan diadakan di parlimen Ketereh dan Machang. – HARAKAHDAILY 13/4/2017