23
Fri, Jun
17 Artikel Baru

PRU14: PAS sedia tanding banyak kerusi Parlimen

Berita
Typography

PAS tidak menolak kemungkinan bertanding lebih banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika bersendirian.

Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, jika ditakdirkan bersendirian PAS itu bebas hendak bertanding tanpa sekatan.

Menurutnya, pada PRU13 lalu PAS bertanding 73 kerusi parlimen berbanding 66 kerusi pada PRU12.

Justeru, katanya tidak menjadi suatu yang pelik jika pada PRU14 kelak PAS akan bertanding lebih lagi, lapor Buletin Online.

“Pilihan raya lalu kita tanding 73 kerusi Parlimen. Pilihan raya sebelum itu, PRU12 kita bertanding 66 kerusi dan tidak jadi pelik kalau PRU14, naik sikit jumlah kerusi itu.

“Ya, dari beberapa sudut kita bebas nak bertanding di mana pun tidak ada sekatan. Bila kita sendiri itulah yang ada kebebasan pada diri kita.

“Kita nak tanding 100 kerusi (parlimen) lebih pun boleh tapi bila pecah undi, ini tidak akan menguntungkan pembangkang. Siapakah yang memulakan pecah ini, bukan PAS,” ujarnya pada sidang media di pejabat PAS Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Menjawab persoalan media, PAS bukan sahaja berhadapan dengan musuh tradisi Umno BN pada PRU14, juga ‘serangan’ dari kalangan parti-parti pembangkang, katanya PAS sedia menghadapi semua lawan.

“Kita secara tradisinya sudah 60 tahun lebih lawan Umno ini. Umur PAS sekarang 66 tahun. Lima tahun sahaja tidak serang Umno semasa dalam gabungan Barisan (BN) dahulu.

“Sepanjang masa PAS lawan Umno. Macam mana puak-puak ini kata kita hendak bersama dengan Umno, tak mungkin. Dia (PAN) hendak ambil tempat PAS terpaksalah cakap hodoh tentang PAS,” jelasnya.