Sidebar

21
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Hubungan PAS-PKR ditentu suara majoriti muktamar

Berita
Typography

TIMBALAN Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menegaskan hubungan dengan PKR ditentukan suara majoriti dalam muktamar.

Beliau berkata ahli-ahli dan penyokong PAS hendaklah bersabar menunggu muktamar yang diadakan tidak lama lagi.

"Kita mahu setiap keputusan hubungan dengan PKR ditentukan suara ramai dalam muktamar," katanya selepas merasmikan muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan di Machang hari ini.

Muktamar kali ke-46 itu turut dihadiri Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood, timbalannya Datuk Dt Johari Mat. Ia diadakan di Markas Dewan Ulamak PAS di Labok.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata tindakan pemimpin PKR membuat tuduhan melulu terhadap PAS boleh mengelirukan orang ramai.

Menurutnya juga, cadangan bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dianggap langkah terbaik.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR Tian Chua berkata parti itu tetap mahu bersama PAS yang mentadbir Kelantan sekarang.

Katanya, PAS yang mentadbir negeri ini merupakan sahabat PKR dalam pakatan pembangkang di Kelantan.

"Keupayaan PAS mentadbir Kelantan sejak 27 tahun lepas memberi makna besar dalam politik di negara ini.

"Kita menjadi alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional menyediakan wadah politik baru di Malaysia," katanya pada ceramah mega anak muda di pekarangan pejabat PAS Machang, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Yang Dipertua PAS Machang Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, timbalan Zulkifli Mamat, Ketua AMK Kelantan Dr Hafiz Rizal Armran, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim dan Ketua Pemuda PAD Machang Ridwan Awang Hamat.

Orang ramai yang memenuhi perkarangan pejabat PAS Machang sebelum itu menyaksikan persembahan dikir barat.

Tian Chua juga berkata Kelantan merupakan Madinah kepada rakyat negara ini yang menjadi pelindung kepada kebangkitan rakyat.

Menurutnya, gerakan reformasi yang dibangkit tokoh reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dapat sokongan meluas di Kelantan.

"Pada mesyuarat pimpinan tertinggi PKR Ahad lepas memutuskan pendirian terus bersama PAS dan parti-parti pembangkang lain," katanya.

Sebelum itu, Dr Fadzli berkata rakyat di Kelantan agak terkilan dengan ucapan sesetengah pemimpin PKR berkongkol dengan PAN mahu menumbang kerajaan di Kelantan. - HARAKAHDAILY 15/4/2017