01
Mon, May
17 Artikel Baru

PAN semakin hilang sokongan akar umbi

Berita
Typography

BIARPUN diuar-uarkan mahu merampas Kelantan, namun PAN kini berdepan dengan krisis keyakinan penyokong sendiri.

Ini dibuktikan apabila ceramah PAN di mana-mana sahaja sekarang semakin hilang ghairah.

Pada malam 1 April lalu di Kampung Kutan kelihatan lebih banyak kerusi daripada orang ramai.

Sedangkan ceramah tersebut turut dihadiri Naib Presiden PAN yang baru dilantik, Datuk Husam Musa dan ahli jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Nordin Salleh.

Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Wan Ruslan Wan Hamat berkata biarpun PAN sering kali menguar-uar mahu merampas Kelantan, namun sokongan peringkat akar umbi tidak ketara.

Katanya, ia dibuktikan program ceramah anjuran PAN di Kutan baru-baru ini boleh mencerminkan kekuatan sebenar parti serpihan itu sekarang.

"Saya dimaklumkan bilangan kerusi lebih banyak daripada orang ramai yang hadir pada program ceramah itu.

"Sedangkan ceramah anjuran PAS di tempat sama malam tadi dihadiri ramai penduduk tempatan," katanya ditemui di Machang hari ini.

Ceramah tersebut (foto atas) dihadiri Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Wan Ruslan juga berkata PAN boleh melihat keupayaan mereka sebenar sekarang sebelum mengimpikan mahu merampas Kelantan. - HARAKAHDAILY 15/4/2017